welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday 1 October 2013

ESOK ADA KELAS, CIKGU?

"Esok ada kelas, cikgu?"  soalan itu sering kudengar tika aku bertugas di kedai buku sekolah terutamanya pada waktu rehat.

"Insya-Allah ada," jawabku ringkas sambil melayan urus niaga dengan anak-anak didik yang lain.  

Soalan sedemikan akan menerobos cuping telingaku pada hari Rabu, semasa rehat tahap dua.  Tidak jemu dia bertanya soalan sedemikian.  Pastinya orang yang bertanya adalah orang yang sama.  

Entahlah..... aku tidak pasti sama ada dia gembira belajar denganku atau sebaliknya.  Dan aku pun tidak pernah bertanya.  Namun setakat ini dia lulus ketiga-tiga ujian yang diberi sepanjang tahun ini untuk program pemulihan. Begitu juga dengan kawan baiknya.  

Namun kelemahan mereka agak ketara dalam ejaan dan membina ayat. Ini menyebabkan aku mengambil keputusan untuk terus memberi bimbingan kepada mereka.  Malangnya dalam seminggu hanya satu jam sahaja kami dapat bersama.  Mudah-mudahan kemahiran yang diajar dapatlah dikuasai sedikit demi sedikit.  Apa yang penting ialah ulang kaji di rumah dan menyiapkan kerja rumah yang diberi.  Tidak memadai jika hanya belajar di dalam kelas tanpa membuat pengulangan di rumah.

Janganlah mengharapkan seratus peratus kepada guru di sekolah semata-mata.  Berapa lamakah masa yang diambil untuk satu-satu subjek yang dipelajari.....   Ibu bapa perlu berkorban masa dalam membantu anak-anak ini di rumah.  Luangkanlah sedikit masa untuk menyemak, mambantu malah menunggu mereka menyiapkan kerja rumah atau mengulang kaji.

Jika tidak sedemikian, tidak ada kesinambungannya pendidikan di sekolah dengan di rumah.  Hasilnya...... kebanyakan kerja rumah yang guru-guru berikan tidak disipakan di rumah.  Lebih mendukacitakan guru-guru lagi ialah pelbagai alasan sering anak-anak didik ini nyatakan.  

Paling menyeronokkan guru-guru pula ialah bila mana awal-awal pagi kerja rumah yang diamanahkan telah sedia diletakkan di atas meja guru.  Tidak payahlah terjerit-jerit meminta kerja rumah dihantar sehingga mengakibatkan waktu terkorban sia-sia.   Akhirnya guru mengajar dalam keadaan yang selesa di samping kelas yang ceria.  Semuanya dengan pengorbanan guru, murid dan ibu bapa.  

..... Dan esok hari Rabu lagi....... insyaAllah aku bertugas di kedai buku lagi..... akan adakah suara yang sama bertanya soalan yang sama lagi.....