welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday 27 March 2013

ADA KELAS TAK?

"Cuti ni takde kelas ke cikgu?" tanya salah seorang anak muridku.  Prihatin benar dia dengan hari-hari cuti yang bakal menjelang.

"Ada, insya-Allah nanti cikgu bagi surat.  Cikgu dah mohon kebenaran dari guru besar, beliau izinkan," jelasku kepadanya.

Dan pada hari yang dijanjikan, memang benar bahawa dia hadir bersama rakannya yang lain.  Aku dimaklumkan bahawa Shah dan Nazirah tidak dapat hadir kerana pulang ke kampung.  

"Azam tak nak datang, cikgu." beritahu Afiq kepadaku.

"Tak mengapalah......... mungkin dia banyak kerja.  Nak bantu mak atau ayahnya cuti-cuti ni," aku sentiasa memujuk mereka untuk belajar berbaik sangka.  

Syukur sangat-sangat kerana ada dalam kalangan ibu bapa anak muridku memberi komitmen terhadap pembelajaran anak-anak.  Sedia berkorban masa menghantar dan mengambil anak mereka.  Turut menyediakan wang belanja atau menyediakan bekal buat mereka.  Malahan tidak berungut kiranya anak terpaksa datang dalam cuti-cuti begini.  Tabik hormat pada mereka!

Dengan sokongan padu ini serta doa yang dipanjatkan, mudah-mudahan anak-anak didik ini dipermudahkan Allah menerima apa yang diajar.  Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubahnya.  

Cikgu doakan buat semua, semoga beroleh kejayaan.  Cuma perlu usaha, usaha dan teruskan usaha.  Jgn lupa jaga solat dan mohon doa pada Allah.  Kita bukan dilahirkan untuk gagal, kejayaan itu akan menjadi milik kita kalau kita mencarinya sungguh-sungguh.  Yakin, berdoa dan tawakkal padaNYA.  Insya-Allah, mereka yang berusaha Allah janjikan dengan kemenangan dan kejayaan.  


Sunday 24 March 2013

MOTIVASI GURU-GURU PEMULIHAN KHAS

Program Motivasi dan P&P Guru-guru Pemulihan Khas Daerah Manjung telah diadakan pada 19 Mac 2013 yang lalu bertempat di Dewan Samudera, SK Seri Bayu, Manjung Raya.

Program ini yang bermula jam 2.00 petang adalah untuk semua guru pemulihan merangkumi SK, SJK(C) dan SJK(T).  Penceramah yang diundang ialah En. Hamidun bin Jamli, Kaunselor Organisasi PPD Daerah Manjung.

Menurut beliau, guru-guru patut bersyukur dan berterima kasih kerana terpilih menjadi guru Pemulihan Khas.  Guru Pemulihan merupakan guru yang hebat.  Sesungguhnya darjat seseorang guru adalah ditentukan oleh diri guru itu sendiri.  Tugas guru ialah menyampaikan ilmu, iaitu satu tugas yang mulia.  Bukan sahaja guru-guru memperoleh gaji, malahan ada ganjaran di akhirat pula.  Ilmu yang disampaikan itu bermanfaat kepada murid jua diri guru itu sendiri.

Namun bagaimanakah tugas itu dikira bermanfaat kepada diri dan orang lain?  Pendek kata guru yang bertugas dengan penuh ikhlas serta dengan niat yang betul, mereka itulah yang bakal memperoleh ganjaran atau pahala yang besar di akhirat nanti.  

Beliau menambah, perlu ada empat perkara pada diri seorang guru yang cemerlang.  Cemerlang dari aspek IQ, EQ, PQ dan SQ.  Guru-guru sentiasa kena 'update' keilmuan yang ada. Emosi kena kawal selalu terutama dalam menangani anak didik dan melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Di samping itu fizikal dan kesihatan perlu dijaga. Seterusnya spiritual atau kepercayaan (agama) mesti disekalikan dalam diri.  Dengan itu barulah seorang guru itu dikira cemerlang.

Cikgu yang melahirkan murid yang lebih hebat daripada dirinya adalah merupakan guru yang hebat!  Kejayaan seseorang individu itu adalah bergantung kepada 80% EQ dan 20% IQ.  Kiranya hendak menjadi orang hebat, mesti ada gandingan  sikap (attitude), kemahiran (skills), pengetahuan (knowledge) dan pengalaman (experience).  

Penceramah mengingatkan juga bahawa dalam diri seorang guru itu perlu ada kekuatan kasih sayang.  Dengan kasih sayang itulah akan melahirkan insan yang baik, merasakan diri dihargai dan dapat belajar dengan gembira dan ceria.

Ceramah yang diselang seli dengan sedikit aktiviti ringan dan respon guru-guru menjadikan program tambah ceria dan mesra.  



(Nota : Sebagai umat Islam, usaha, doa dan tawakkal itu perlu dicanai bersama bagi menjadikan diri seorang guru yang hebat).  




Friday 1 March 2013

Program Sinar Harapan Linus Tahun 3

Program Sinar Harapan Linus Tahun 3 telah berlangsung di Dewan Bestari, PPD Manjung.  Hanya murid murid-murid Tahun 3 yang masih berada dalam kategori Tegar dan Linus sahaja terlibat dalam program ini bersama guru Pemulihan masing-masing.

Program ini berlangsung dari 26 hingga 28 Februari 2013 bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 2.00 petang.  Bagi kategori Literasi, penceramah jemputan ialah En Abdul Karim bin Monok, Guru Besar SK Kota Setia manakala bagi Numerasi pula Pn Nurwahida bt Yakub dari SK Sungai Tiram. Fasilinus turut serta membantu bagi melancarkan program tersebut.

Dalam masa yang singkat itu guru-guru didedahkan dengan beberapa teknik, kemahiran dan kaedah mengajar yang mungkin boleh dikongsi bersama dalam melaksanakan P&P di bilik darjah.  Guru-guru digalakkan menyelitkan unsur nyanyian dalam P&P selain memberi ganjaran yang sesuai.  Penggunaan bahan maujud dalam melaksanakan P&P Numerasi adalah digalakkan bagi menambah pemahaman murid-murid terhadap kemahiran yang diajar.

Foto :  Ehsan PPD Manjung