welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday 26 May 2012

MINGGU KEMPEN ANTI DADAH

Minggu kempen anti dadah bermula pada 25 Mei 2012, iaitu sebaik-baik PKSR 1 selesai.  Keadaan padang yang digenangi air di beberapa tempat tidak mengizinkan semua murid turun padang.  Semua murid tahap satu berada di kelas dengan kawalan guru mengikut jadual kelas masing-masing.  

Pagi Jumaat yang cerah itu dimulai dengan acara senamrobik oleh semua murid tahap dua bersama guru-guru dengan bimbingan seramai tiga orang instruktor dari Klinik Kesihatan Sitiawan dan Lekir.  Senamrobik yang dimulai jam 7.50 pagi itu berlangsung selama setengah jam. 

Tak sabar nampaknya nak memulakan senamrobik....



Guru-guru yang turut sama menyertai senamrobik.  Steady cikgu!!!!!


Pn Moorhani Sulong Zainal (PK Pentadbiran) menyampaikan sedikit cenderahati kepada instruktor.
Sebaik-baik selesai acara senamrobik, semua murid tahap dua mengambil tempat di dalam dewan untuk menyaksikan slot ceramah "Gaya Hidup Sihat" yang disampaikan oleh penceramah khas Dr Haslinda binti Ismail.  Beliau mengupas tentang pengambilan makanan yang betul, makanan berkhasiat dan sebaliknya.    Selain itu maklumat tentang kesan atau penyakit berkaitan kesilapan pengambilan makanan turut dijelaskan.



Mengambil peluang bertanya soalan/ kemusykilan kepada doktor dalam sesi soal jawab

Sedikit buah tangan daripada pihak sekolah yang disampaikan oleh Pn Zarina Johari (PK Hem)

Friday 25 May 2012

KEMPEN KESIHATAN SEMPENA HARI HIPERTENSI SEDUNIA, TANPA TEMBAKAU DAN KESEDARAN STROKE

Klinik Kesihatan Lekir telah menganjurkan kempen kesihatan penyakit tidak berjangkit peringkat daerah Manjung yang telah diadakan di Perkarangan Klinik Kesihatan Lekir pada 23 Mei 2012 yang lalu.  Pelbagai acara telah diadakan pada hari tersebut.

Pihak penganjur telah menjemput seramai 2 orang guru pengiring dan 6 orang murid kesemua sekolah di kawasan Lekir bagi menyertai program tersebut.  Program Kempen yang bermula jam 8.00 pagi dan berakhir 1.00 tengah hari itu kurang mendapat sambutan daripada pihak sekolah kerana sebilangan besar sekolah sedang menjalankan peperiksaan pertengahan tahun.  Pelepasan hanya diberikan kepada guru yang berkenaan sahaja.

Berbagai aktiviti menarik diadakan sempena berlangsungnya kempen ini.  Antaranya ialah senamrobik, ceramah & kuiz (Tembakau, Hypertension dan Stroke), cabutan bertuah dan saringan kesihatan.

Ucapan Perasmian Program


Dr Haslinda merasmikan majlis dengan gimik membakar rokok

Dr Ahmad Syahrul Azwan menyampaikan ceramahnya berhubung Angin Ahmar/ Stroke dan Hipertensi


Pn Zarina Johari (PK HEM SKL) mengambil peluang bertanya soalan

Dr Haslinda menyampaikan ceramah berkaitan Rokok / Tembakau


Petugas-petugas di bahagian saringan kesihatan






Sunday 20 May 2012

SARINGAN KHAS

Saringan Khas Literasi dan Numerasi Tahun 2 telah dilaksanakan di Dewan SK Lekir pada 15 Mei yang lalu. Semua calon lulus saringan Literasi, manakala hanya seorang belum menguasai saringan Numerasi.

Ucapan tahniah juga ditujukan istimewa kepada guru-guru yang mengajar subjek Bahasa Malaysia dan Matematik Tahun 2.  Kesungguhan anda membimbing dan mendidik anak-anak tahun 2 ini mudah-mudahan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.  Teruskan usaha!!!


Wednesday 16 May 2012

SESEKALI BERSAMAMU.....

tatkala langkahan kakimu bermula.....
menyusur laluan penuh ranjau
meredah onak dengan amat payah
dalam hati penuh keraguan
bersarang kerisauan
berselimut tabir duka kecewa

akulah itu....
seorang guru tua 
sudi menerima hadirmu
rela menemanimu dalam langkah yang hanya bertatih
rebah dan jatuh bangun 
penuh sabar dan tabah
menunggumu tanpa tahu erti gelisah

akulah itu.....
sanggup seiringan denganmu
memadamkan garis-garis duka
yang berselirat di wajahmu
menghapuskan jalur-jalur nestapa
yang singgah di teratak hatimu

sesekali bersamamu,
    aku bermuhasabah diri
    belajar erti sebuah kepayahan
    menyelami erti sebuah kesabaran
    mengajak mengenali sebuah keikhlasan
    lantas memujuk hati agar mensyukuri nikmat Tuhan
    bahawa keistimewaanmu hanya Dia Yang Maha Tahu!!!




Wednesday 9 May 2012

SALAM BUAT GURU

Ingatan dari hati 
Sebuah lagu bererti
Buat guru penabur bakti
Memberi ilmu yang abadi

Dua tahun yang mesra 
Mengukir kasih bicara
Mencurah ilmu dengan ikhlas
Jasa bakti tidak terbalas

Tapi kini wahai guruku
Berpisah mengharu kalbu
Demi untuk anak bangsamu
Jasamu kukenang selalu

Kini irama sayu di hati
Untuk guru selamat berbakti
Moga murid tak dilupai 
Mawar untuk  guru serikandi

Friday 4 May 2012

KASIHANILAH MEREKA

Dalam setandan kelapa yang elok itu kadangkala ada juga yang buruk ataupun tidak elok.  Begitulah juga dengan anak-anak yang ada di dalam sesebuah keluarga.  Kadangkala dalam ramai-ramai itu ada juga seorang dua yang kurang sedikit daripada yang lain.  Perkara ini memang tidak dapat dinafikan.  

Begitulah anugerah Allah kepada hamba-Nya.  Bila difikir-fikirkan, semua itu menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah yang menciptakan kita semua.  Ada ketikanya mungkin Allah hendak menguji kita, menguji setakat mana kesabaran dan kekuatan kita.  Mungkin melalui jalan itu dapat menambah kehebatan kita.

Setiap manusia yang dicipta oleh Allah mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing.  Begitulah juga murid-murid yang berada di kelas Pemulihan Khas. Walaupun dari sudut akademik mereka nampak agak kurang, namun mereka mempunyai kehebatan tersendiri dari sudut lain.  Jangan kita memandang rendah terhadap mereka.

Sentiasalah memberi sokongan kepada mereka.  Berikan tunjuk ajar dengan penuh kesabaran walaupun kekadang kita merasakan kesabaran kita benar-benar teruji.  Kita juga merasakan bahawa kesabaran kita itu ada hadnya.  

Namun percayalah bahawa di sebalik ujian dan cabaran itu ada hikmah besar yang mungkin tak terjangkau dek akal kita.  Sentiasalah muhasabah diri, merenung jauh ke dalam diri.  Mungkin kita merupakan insan pilihan untuk mencurah bakti kepada mereka.  Tanpa sedar, mungkin ada hikmahnya kita ditempatkan bersama anak-anak ini melalui dugaan dan cabaran yang bakal mereka tempuh nanti.

Kita merupakan antara guru-guru tempat mereka berpaut kasih sayang.  Tempat berkongsi kisah suka duka mereka.  Malahan pengganti ibu ayah mereka.  Curahkan segala ilmu yang ada untuk mendidik mereka.  Siapkan juga bekalan ilmu akhirat yang mungkin dapat diselitkan dalam P&P kita.  Kita bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan di muka bumi ini.  Kita sudah pasti akan dipersoalkan ke mana arah kita bawa mereka nanti.

Mudah-mudahan keikhlasan kita membimbing mereka dinilai Allah jua.  Mudah-mudahan Allah memberkati hidup mereka di dunia mahupun di akhirat.  

Wednesday 2 May 2012

KESELAMATAN DIRI

Acapkali diperingatkan tentang keselamatan diri.  Namun perkara ini dianggap remeh oleh sebilangan manusia tidak kira sama ada kecil, besar, tua ataupun muda.  Apabila sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi, barulah kita menyedari bahawa begitu berharganya keselamatan diri itu.  Bak kata pepatah, sudah terhantuk baru terngadah.




Sebagai pendidik, kita dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan anak didik kita di dalam kawasan sekolah.  Jangan ambil mudah akan perkara ini.  Sentiasalah memberi peringatan walaupun berkali-kali kepada anak didik yang sama.  Mungkin pesanan yang kita berikan itu akan dikenang malah menjadi panduan dan ingatannya sampai bila-bila.




Bertindaklah sebagai seorang ibu atau seorang ayah kepada anak-anak didik walaupun mereka bukan anak kandung kita.  Jangan membeza-bezakan mereka walaupun mereka mempunyai tahap pencapaian  yang berbeza.  Peringatkan mereka tentang keselamatan diri walau di mana mereka berada.   Mungkin pesanan yang sama turut diberikan oleh guru-guru lain kepada anak kita juga.  


Jangan jemu untuk membekalkan mereka dengan pelbagai nasihat walaupun adakalanya kedegilan mereka mencabar kesabaran kita.  Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menasihati mereka.  Seringkali juga mendoakan mereka agar sentiasa berada dalam keadaan selamat.  Keselamatan mereka merupakan tanggungjawab kita bersama.