Acapkali diperingatkan tentang keselamatan diri. Namun perkara ini dianggap remeh oleh sebilangan manusia tidak kira sama ada kecil, besar, tua ataupun muda. Apabila sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi, barulah kita menyedari bahawa begitu berharganya keselamatan diri itu. Bak kata pepatah, sudah terhantuk baru terngadah.
Sebagai pendidik, kita dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan anak didik kita di dalam kawasan sekolah. Jangan ambil mudah akan perkara ini. Sentiasalah memberi peringatan walaupun berkali-kali kepada anak didik yang sama. Mungkin pesanan yang kita berikan itu akan dikenang malah menjadi panduan dan ingatannya sampai bila-bila.
Bertindaklah sebagai seorang ibu atau seorang ayah kepada anak-anak didik walaupun mereka bukan anak kandung kita. Jangan membeza-bezakan mereka walaupun mereka mempunyai tahap pencapaian yang berbeza. Peringatkan mereka tentang keselamatan diri walau di mana mereka berada. Mungkin pesanan yang sama turut diberikan oleh guru-guru lain kepada anak kita juga.
Jangan jemu untuk membekalkan mereka dengan pelbagai nasihat walaupun adakalanya kedegilan mereka mencabar kesabaran kita. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menasihati mereka. Seringkali juga mendoakan mereka agar sentiasa berada dalam keadaan selamat. Keselamatan mereka merupakan tanggungjawab kita bersama.
No comments:
Post a Comment