welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday 7 February 2015

SELAMAT BERTEMU KEMBALI

Selamat bertemu semula buat yang dikasihi......


  1. Fathul Islam bin Azhar
  2. Muhammad Ikhsan bin Muhammad Rusni
  3. Muhammad Najmi bin Wahab
  4. Muhammad Aiman Haqimi bin Hairunizam
  5. Umar Khalid bin Abdul Rahim
  6. Aqilah Zahra Al Mawi bt Abdullah
  7. Faziatul Hana bt Md Yusof
  8. Nor Aishah bt Azman



Dan salam perkenalan buat......

  1. Muhammad Azim Ezuan bin Muhammad Isa
  2. Nor Farish Iswan bin Nor Azlan
  3. Muhammad Danial Hafizuddin bin Abdullah
  4. Arifah Liyana bt Abdullah
  5. Siti Shaheedatul Adawiyah bt Yahya

MOGA ALLAH MERAHMATI KITA,
MEMBERKATI PERJALANAN HIDUP KITA, 
MENGANUGERAHKAN KEJAYAAN DI PENGHUJUNG USAHA KITA. 

Friday 6 February 2015

BLOG YANG HILANG!

Tiap kali cuba nak up-date blog ni.......... hilang tanpa dapat dikesan.  Kenapa ya?

Saturday 22 November 2014

SELAMAT BERCUTI ANAK-ANAK

Percutian kali ini seperti biasa, masih ada tugas yang perlu diselesaikan.  Maafkan cikgu, kerana tak buat kelas tambahan pemulihan pun walaupun pada mulanya ada ura-ura hendak mengadakannya.

Masih cikgu ingat lagi semasa membuat bancian sebelum cuti sekolah.  Yang berminat untuk hadir tu ada, namun yang berada dalam kategori kritikal nampaknya agak keberatan untuk hadir memandangkan ibu ayah sudah punya perancangan untuk membawa anak-anak berjalan jauh ataupun makan angin.  Malahan ada juga yang mahu balik kampung.

Tidak mengapalah.......   lain kali kita jumpa.  Lagipun banyak tugas lain yang perlu cikgu laksanakan.  Urusan penyusunan murid untuk kokurikulum dan uusan kedai buku sekolah menuntut cikgu agar tidak menangguhkannya. 

Untuk semua anak-anak yang cikgu kasihi, selamat bercuti.  Di sekolah belajar bersama rakan dan cikgu, jadi sepanjang cuti ini barangkali mungkin boleh belajar bersama ibu ayah, abang dan kakak.  Jangan mengharap seratus peratus daripada cikgu semata-mata.  

Cikgu hanya membimbing dan membantu, selebihnya ada insan lain di rumah yang boleh menyambung urusan itu.  Jangan tinggalkan langsung buku-buku.  Cikgu bimbang apa yang anak-anak telah tahu akan hilang entah ke mana.  Yang sudah diingat, takut terlupa pula.  Tambahan cuti kali ini agak lama.

Selamat bercuti, insha-Allah kita bersua di tahun 2015 nanti jika diizinkan-NYA.

Saturday 18 October 2014

SARINGAN 2 TAHUN 1

Sudah terlalu lama menyepi, kini tampil
 dengan hasil usaha yang dapat dikongsi 

bersama.

  Guru-guru Linus dan Pemulihan Khas yang berusaha bertungkus lumus, sokongan dari pelbagai pihak dan usaha anak didik itu sendiri membuahkan hasil.  Namun pada Yang Maha Esa jangan dilupa terus.  Tanpa DIA manakan mungkin usaha kita berjaya.

Namun amat malang kiranya ada pihak berharap munculnya keajaiban dengan mengharap seratus peratus berjaya melepasi ujian ini.  Insan yang kenal dan berhadapan dengan anak didik yang agak mencabar ini adalah guru-gurunya.  Cikgu yang setiap hari berhadapan dengan pelbagai kerenah dan situasi.  Yang tidak pernah duduk menghadap mereka sudah tentu tidak dapat merasai keperitan dan kemanisan yang dikecapi.

Sama ada cikgu......ustazah..... teacher...... yang hampir setiap hari menghadam jerih payah yang menguji kesabaran.  Usah bicara tentang kejayaan menggunung, kiranya tidak pernah bertentang mata, berkongsi cerita suka duka, mengulit lelah melangkah seiringan.

Di mana ada usaha, doa dan tawakkal, insha-Allah bakal mengecap nikmat kejayaan!  Namun usah mengharap ia akan berlaku dalam sekelip mata!  Mungkin terpaksa menghabisi berhari-hari, barangkali berbulan-bulan ataupun bertahun-tahun untuk pandai membaca, menulis dan mengira.  Kami guru-guru hanya merancang dan meneruskan usaha, dan Yang Maha Kuasa akan menentukan segalanya.


Bagi guru-guru yang dikasihi....... baik cikgu, atau teacher, atau ustazah, teruskan memberi didikan.  Ilmu yang bermanfaat sungguh tinggi nilainya.  Allah melihat usaha kita.  Bersabarlah dan bersyukurlah!!!  Bukan kita yang menentukan mereka pandai sehingga boleh melepasi Saringan 2 itu.... terserah pada Allah SWT.  Pergantungan kita hanya pada DIA.  Kalau mereka berjaya, bersyukurlah.  Jika sebaliknya, bersabarlah.  

Jangan kita mendahului kehebatan Allah, menyangkakan kita boleh segala-galanya.  Tanpa pertolongan dan ehsanNYA.... siapalah kita.   TAHNIAH buat rakan dan sahabat semua.  Teruskan menjaga amanah yang diberi, sampaikanlah ilmu kepada mereka yang memerlukan, sesungguhnya DIA yang amat memahami kita yang bergelar 'guru'!  Dengan lembut sabarnya mengajar ..... tulis......baca.....


BERBURU KE PADANG DATAR
DAPAT RUSA BELANG KAKI
BERGURU KEPALANG AJAR
BAGAI BUNGA KEMBANG TAK JADI

Friday 11 July 2014

KASIHAN BETUL......

Buat pertama kali bertemu anak-anak yang baru ini.......  comel belaka!  Namun setelah disemak-semak.....  bersama sekelas dengan mereka dalam tempoh hampir sebulan ini..... rasa kasihanku mula memutik.  Betapa sukarnya bagi mereka untuk mengenal huruf dan angka yang ada.  Bagi kita mudah.... tapi bagi mereka bagaimana ya?  Aku cuba menyelami, belajar erti empati...

Anak-anak yang mempunyai latar belakang yang berbeza, punyai masalah keluarga yang melingkari, barangkali mungkin antara penyebab kesukaran untuk menerima apa yang didedahkan kepada mereka.  Dalam kekalutan dan himpitan hidup, ditambah dengan kurangnya kasih sayang..... mungkin rohnya tidak hadir sama dalam sesi bimbingan di kelas.  Mungkinkah jasadnya sahaja yang ada di hadapan mata kita, sedangkan hati dan fikiran melayang jauh entah ke mana?

Hampir sebulan kami bersama..... dan lagu mudah yang kudedahkan buat pertama kalinya kepada mereka, sudah dapat dihafal!

Aishah, anak yatim yang seringkali kelihatan murung tiba-tiba membuat tugasannya menulis huruf berulang sambil mendendangkan lagu tersebut.  Kuamat-amati tutur yang keluar dari ulas bibirnya...... jelas sebutannya betul!  Tahniah Aishah......  cikgu gembira sekali.

Faziatul Hana yang selalu tidak hadir ke sekolah juga mampu menyanyikan lagu itu dengan agak baik.  Merdu suaranya.  Harap-harap dia akan selalu hadir selepas ini.

Begitu juga dengan yang lain..... bagi cikgu semuanya sama sahaja.  Tiada lebih atau kurangnya buat sebahagian dengan sebahagian yang lain.  Semuanya tetap sama, yang penting anda semua mahu belajar dan mahu buat kerja.  Tak mengapa lambat, inshaAllah cikgu sedia membantu.

........dan pagi Jumaat tadi sebaik-baik semua menghantar kerja sekolah yang kuberikan semalam, Aishah bersuara, "Cikgu, tak de ke kerja sekolah lagi?" Hatiku diserbu rasa terharu.  Kerisauanku terhadap buku kerja rumah yang bakal dikoyakkan oleh adiknya hilang tiba-tiba!

Ya Allah, bantulah aku membimbing anak-anak ini.  Sesungguhnya tak terhitung kasih dan rahmat-Mu Ya Rab.

Sunday 15 June 2014

KEMBALI KE SEKOLAH

Assalamualaikum buat semua!  Cuti dah tamat ya...... selamat kembali ke sekolah.  Inshaallah anak-anak baru bakal mewarnai kelas cikgu kali ini.  Pasti belum kenal lagi siapa cikgu ya.....

Kepada yang masih berada di kelas cikgu...... teruskan usahamu.  Jangan tangguh-tangguh lagi.  Hari pertama sekolah dibuka setelah lebih dua minggu bercuti, harap jangan buat-buat lupa ya.  Bersemangatlah selalu.  Orang lain boleh, takkan kita tak boleh!

Jadual kelas cikgu ada perubahan besar.  Sebarang perubahan akan dimaklumkan.  Jadualnya sudah lama cikgu siapkan.

Bagaimana dengan cuti anda semua?  Seronok tu sudah tentu.... Cuti kali ini lama juga.   Maaflah kerana cikgu tidak dapat mengadakan kelas tambahan seperti cuti-cuti yang lalu.  Banyak urusan lain yang perlu diselesaikan.  Apa pun, harapan cikgu agar anda semua bijak mengurus masa.  Pesanan cikgu sebelum cuti lalu boleh dijadikan panduan bagi mengelakkan 'lupa' akan sekolah dan 'lupa' apa yang telah dipelajari.

 Selamat Datang kepada anak-anak Tahun Satu ke kelas ini.  Inshaallah nanti kita jumpa!  Tanamkan azam bahawa anda juga boleh berjaya seperti murid-murid lain.  Cuma perbaiki sikap dan akhlak.  Kita bukan dilahirkan untuk gagal.  Barangkali mungkin kita agak lambat, tapi usaha dan ikhtiar perlu ada.  Bak pepatah Melayu, 'Belakang parang diasah lagikan tajam'.  Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubahnya.  Sesiapa yang berusaha, inshaallah dia akan berjaya.

Kepada cikgu-cikgu yang telah berusaha sungguh-sungguh membantu anak-anak semua, cikgu ucapkan tahniah.  Mereka dengan sabar dan tabah mengajar tulis baca..... seperti puisi Usman Awang itu.  Cikgu akan cuba bantu pula.  Mudah-mudahan berkat kesungguhan kita semua, Allah kurniakan yang terbaik buat kita.

Barangkali kenal wajah-wajah ini, bukan?  Ingat, tanpa mereka siapalah kita.  Di sekolah, mereka inilah pengganti ibu anak-anak.  Dialah guru, dia jugalah doktor, dia tukang sapu, dia tukang cuci, dia jurulatih, dia penghibur, dia juga pelakon...... dia juga bendahari dan kerani!  Jawatannya satu, namun tugasnya besar.  Betapa hebatnya insan ini yang hanya kita panggil 'cikgu'.  

Semua cikgu sama sahaja, ingin melihat anak-anak didiknya berjaya.  Ingin melihat anak didiknya menjadi insan berguna suatu hari nanti.  Apa yang penting, jaga tingkah laku.  Kalau berjaya setinggi manapun tapi akhlak tak baik, tak guna juga.  Hormatilah cikgu, kenanglah jasanya.  Niatkan dalam hati bahawa kita ke sekolah dengan tujuan menuntut ilmu.  Mudah-mudahan apa yang kita pelajari beroleh keberkatan dariNYA.



Monday 5 May 2014

TAHNIAH ANAK-ANAK YANG DIKASIHI!

Salam buat semua yang dikasihi.  Rasanya sudah lama cikgu tidak menulis di ruang ini.  Setelah saringan satu berlalu, ada beberapa orang yang bakal cikgu lepaskan ke kelas perdana.  Buat semua yang cikgu sayang....... ada dalam kalangan anda yang menunjukkan pencapaian yang baik.  Dan anda bakal meninggalkan kelas cikgu.  Namun bagi mereka yang kurang menyerlah, jangan bimbang.  Anda masih di bawah bimbingan cikgu.  

Berikut merupakan anak-anak Linus yang telah cikgu bimbing mulai Januari tahun ini:

  1. Muhammad Haziq Haikal bin Hairunizam (3P)
  2. Awangku Danish Aizudin bin Mohd Hanifah (3P)
  3. Muhammad Ashraf bin Wahab (3P)
  4. Muhammad Aris Iskandar bin Muhammad Isa (3P)
  5. Irdina Wafa bt Muhammad Farix (2P)
  6. Nurul Amira bt Azimi (2P)
  7. Mukjizat bin Muzizat (2P)
  8. Muhammad Raihan bin Rahmat (2P)
  9. Mohamad Salihin bin Hawari (2P)
  10. Muhammad Aqil Asyraaf bin Mohd Azmi (2P)
Nombor 1, 2, 5, 7 dan 9 diharap dapat terus belajar dan berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.  Jangan biarkan masa berlalu sia-sia.  Buanglah sikap 'malas' dari dalam diri anda sekiramnya anda ingin berjaya sebaris dengan orang lain.  TAHNIAH SEKALI LAGI!!!!!