welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday 11 July 2014

KASIHAN BETUL......

Buat pertama kali bertemu anak-anak yang baru ini.......  comel belaka!  Namun setelah disemak-semak.....  bersama sekelas dengan mereka dalam tempoh hampir sebulan ini..... rasa kasihanku mula memutik.  Betapa sukarnya bagi mereka untuk mengenal huruf dan angka yang ada.  Bagi kita mudah.... tapi bagi mereka bagaimana ya?  Aku cuba menyelami, belajar erti empati...

Anak-anak yang mempunyai latar belakang yang berbeza, punyai masalah keluarga yang melingkari, barangkali mungkin antara penyebab kesukaran untuk menerima apa yang didedahkan kepada mereka.  Dalam kekalutan dan himpitan hidup, ditambah dengan kurangnya kasih sayang..... mungkin rohnya tidak hadir sama dalam sesi bimbingan di kelas.  Mungkinkah jasadnya sahaja yang ada di hadapan mata kita, sedangkan hati dan fikiran melayang jauh entah ke mana?

Hampir sebulan kami bersama..... dan lagu mudah yang kudedahkan buat pertama kalinya kepada mereka, sudah dapat dihafal!

Aishah, anak yatim yang seringkali kelihatan murung tiba-tiba membuat tugasannya menulis huruf berulang sambil mendendangkan lagu tersebut.  Kuamat-amati tutur yang keluar dari ulas bibirnya...... jelas sebutannya betul!  Tahniah Aishah......  cikgu gembira sekali.

Faziatul Hana yang selalu tidak hadir ke sekolah juga mampu menyanyikan lagu itu dengan agak baik.  Merdu suaranya.  Harap-harap dia akan selalu hadir selepas ini.

Begitu juga dengan yang lain..... bagi cikgu semuanya sama sahaja.  Tiada lebih atau kurangnya buat sebahagian dengan sebahagian yang lain.  Semuanya tetap sama, yang penting anda semua mahu belajar dan mahu buat kerja.  Tak mengapa lambat, inshaAllah cikgu sedia membantu.

........dan pagi Jumaat tadi sebaik-baik semua menghantar kerja sekolah yang kuberikan semalam, Aishah bersuara, "Cikgu, tak de ke kerja sekolah lagi?" Hatiku diserbu rasa terharu.  Kerisauanku terhadap buku kerja rumah yang bakal dikoyakkan oleh adiknya hilang tiba-tiba!

Ya Allah, bantulah aku membimbing anak-anak ini.  Sesungguhnya tak terhitung kasih dan rahmat-Mu Ya Rab.

No comments:

Post a Comment