welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday 15 June 2012

JOM TAMBAH ILMU.....

Guru-guru pemulihan khas daerah Manjung telah berkursus di PPD Sitiawan pada hari Rabu, 13 Jun 2012 yang lalu bermula jam 2.00 petang.   Penceramah undangan iaitu Puan Rosiah binti Mohamed Ariff, Penolong Kanan Pendidikan Khas dari SMK Seri Samudera telah mengupas tajuk "Ciri-Ciri dan Strategi P&P murid Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran".

Menurut beliau antara punca mengapa kanak-kanak itu tidak normal ialah, faktor genetik (baka), faktor alam sekeliling dan faktor sebelum, semasa dan selepas kelahiran.

Ibu-ibu yang mengandung dalam usia 35 tahun ke atas berisiko mendapat anak sedemikian.  Begitulah mengikut kata pakar di bidang sains perubatan.  Namun ada juga di kalangan ibu-ibu yang berusia begitu tetap melahirkan anak-anak yang normal.  Pendek kata, semua itu adalah ketentuan qado dan qadar Allah.  Sesungguhnya DIA berkuasa atas segala sesuatu.

Guru-guru Pemulihan didedahkan dengan tujuh kategori kakak-kanak pendidikan khas, iaitu:
  • Lembam (slow learner)
  • Sindrom down
  • Autisme
  • Kerencatan akal
  • Tumpuan perhatian singkat (ADD/ADHD)
  • Celebral palsy
  • Disleksia
 Beliau memperincikan dengan jelasnya apakah yang dimaksudkan dengan istilah-istilah tersebut.  Majlis tambah ceria apabila Puan Rosiah menceritakan pengalamannya selama dua belas tahun bertugas dalam bidang Pendidikan Khas ini.  Pengalaman berharga itu menambahkan kematangan beliau dalam meneruskan usaha mendidik anak-anak yang bermasalah dalam pembelajaran.  

 Strategi dan pendekatan P&P yang berbeza wajar digunapakai oleh seseorang guru mengikut kreativiti masing-masing untuk memancing anak-anak khas ini agar turut serta dalam proses pembelajaran.  
Teknik Pembelajaran Masteri dan Pembelajaran Kontekstual menjadi keutamaan dalam memberi tunjuk ajar kepada anak-anak ini.


Sebelum kursus berakhir, peserta kursus diminta melakonkan beberapa adegan berdasarkan masalah yang diberikan di samping mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut.  Aktiviti simulasi ini dilaksanakan dalam kumpulan.  

Setiap kumpulan diberi masa lebih kurang sepuluh minit untuk membincangkan tentang masalah yang diberi.  Apa yang menjadi kesukaran bagi kami ialah apabila kami semua dikehendaki memegang watak murid-murid kelas pendidikan khas dengan pelbagai kategori.  Manakala salah seorang akan memegang watak guru.

Majlis menjadi gamat dengan keletah beberapa orang guru yang berjaya membawa watak dengan baik dan berkesan biarpun pada mulanya agak malu untuk ke hadapan pentas.
Kursus ini memberi maklumat dan pendedahan bagi mengesan masalah murid-murid yang berada di kelas pemulihan.  Kemungkinan ciri-ciri yang dinyatakan oleh penceramah ada pada murid pemulihan yang sedang dibimbing ataupun yang bakal diterima nanti.

Thursday 7 June 2012

BELAJAR TETAP BELAJAR

Dalam kesibukan orang lain bercuti, anak-anak ini masih rajin meluangkan masa untuk hadir ke sekolah.  Belajar dalam suasana menyeronokkan.....

 Mengisi masa mengikut jadual yang dijanjikan bermula jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi mulai hari Isnin hingga hari Khamis tidak menjadi masalah bagi mereka.  Malah mereka menyatakan bahawa duduk di rumah pun 'boring'.  Datang ke sekolah lagi seronok, dapat belajar sesuatu dan menambah ilmu.
Kelas bermula pada 4 Jun dan berakhir 7 Jun 2012.  Nampak sedikit kesal di wajah mereka pada hari terakhir kelas...... mengapa ya???

Rakan lain ada yang mungkin menghabiskan cuti dengan duduk tekun di depan televisyen menyaksikan pelbagai hidangan di musim-musim cuti begini.  Mungkin ada juga yang masih diulit mimpi di siang hariNamun keseronokan jelas terbayang di wajah mereka yang hadir ini.

 Anak kecil Tahun Satu ini pun turut sama hadir walaupun tidak dijemput. .......Saja-saja nak tumpang belajar!!!  
Emmm.... tak jadi masalah... janji datang sebab nak belajar.  Tak siapa yang akan halau.  Ilmu yang ada patut kita kongsi sama-sama, semuanya datang dari Allah.  Belajar terus belajar sampai ke nafas yang terakhir!!!

Tuesday 5 June 2012

ALAHAI.... CUTI SEKOLAH....

Cuti sekolah memang dinantikan oleh murid-murid atau pelajar.  Malah ia juga menyeronokkan bagi guru-guru.  Mana tidaknya........  telah begitu lama menghadap pelajaran..... ada baiknya sesekali pergi bercuti bagi melepaskan lelah.  Merehatkan otak.

Namun ada kalanya percutian begini timbul sedikit kebimbangan di hati guru-guru pemulihan.  Manakan tidak...  kekadang percutian yang agak panjang menjadikan murid-murid lupa apa yang telah dipelajari.  Bagi yang sukar mengingat ataupun lemah daya ingatan, akan menjadikan dia ingat-ingat lupa huruf atau angka yang telah dikuasai.  Ada ketikanya sebut di mulut lain, ditulis lain pula.

Bukanlah bertujuan untuk memperkecilkan mereka, cuma pengalaman masa lalu menjadikan hati guru-guru pemulihan sedikit tergugat.  Namun begitu ada juga murid yang beruntung dan menunjukkan prestasi yang boleh dibanggakan setelah cuti berakhir.  Kemungkinan besar mereka turut mendapat bimbingan ibu bapa atau ahli keluarga yang prihatin membantu mereka semasa cuti sekolah berlangsung.  Komitmen mereka semua ini amat  dihargai.  Usaha murni mereka sedikit sebanyak membantu guru-guru pemulihan.  

Sebenarnya murid-murid pemulihan ini menghabiskan banyak masa di rumah.  Kalau hendak dihitung dan dikira, waktu mereka berada di kelas pemulihan hanya beberapa jam sahaja dalam sehari.  Jadi, perlulah ada gandingan mantap di rumah dan di sekolah bagi memulihkan mereka.  Kalau hanya bergantung harap sepenuhnya kepada guru pemulihan, kemungkinan untuk mereka berjaya menguasai kemahiran agak tipis.  

Komitmen ibu bapa dalam membimbing mereka di rumah amatlah dialu-alukan.  Biarpun ada kalanya mereka lambat, namun sekiranya mereka tekun dan bersungguh-sungguh insyaAllah mereka juga boleh berjaya.  Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu berusaha sendiri mengubahnya.  

Seperkara lagi yang turut membantutkan usaha membantu mereka ini ialah masalah keperluan bagi seorang murid yang tidak lengkap seperti, pensel, pemadam, pembaris dan juga pengasah pensel.  Ibu bapa sudah pasti mampu membeli kelengkapan ini.  Tapi amatlah malang kerana mereka jugalah yang seringkali ketiadaan pensel untuk menulis.  Malahan terpaksa pula meminjam pemadam dari kawan.  Sedih melihat keadaan sesetengah mereka.  Adakah mereka tidak dipedulikan???  Lebih malang lagi sekiranya ibu bapa mampu untuk menggunakan telefon bimbit.... sedangkan sebatang pensel berharga tiga puluh sen tak mampu dibeli, pemadan berharga dua puluh sen sukar untuk dicari.

Bukan semua anak-anak pemulihan ini berada dalam situasi begini, tapi memang inilah masalahnya yang terpaksa guru pemulihan hadapi.  Mesti berlaku insiden pinjam peminjam alat tulis dalam kalangan mereka murid kelas pemulihan.  Mudah-mudahan bermulanya persekolahan di semester kedua nanti.... masalah ini takkan berulang.