Guru-guru pemulihan khas daerah Manjung telah berkursus di PPD Sitiawan pada hari Rabu, 13 Jun 2012 yang lalu bermula jam 2.00 petang. Penceramah undangan iaitu Puan Rosiah binti Mohamed Ariff, Penolong Kanan Pendidikan Khas dari SMK Seri Samudera telah mengupas tajuk "Ciri-Ciri dan Strategi P&P murid Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran".
Menurut beliau antara punca mengapa kanak-kanak itu tidak normal ialah, faktor genetik (baka), faktor alam sekeliling dan faktor sebelum, semasa dan selepas kelahiran.
Ibu-ibu yang mengandung dalam usia 35 tahun ke atas berisiko mendapat anak sedemikian. Begitulah mengikut kata pakar di bidang sains perubatan. Namun ada juga di kalangan ibu-ibu yang berusia begitu tetap melahirkan anak-anak yang normal. Pendek kata, semua itu adalah ketentuan qado dan qadar Allah. Sesungguhnya DIA berkuasa atas segala sesuatu.
Guru-guru Pemulihan didedahkan dengan tujuh kategori kakak-kanak pendidikan khas, iaitu:
- Lembam (slow learner)
- Sindrom down
- Autisme
- Kerencatan akal
- Tumpuan perhatian singkat (ADD/ADHD)
- Celebral palsy
- Disleksia
Strategi dan pendekatan P&P yang berbeza wajar digunapakai oleh seseorang guru mengikut kreativiti masing-masing untuk memancing anak-anak khas ini agar turut serta dalam proses pembelajaran.
Teknik Pembelajaran Masteri dan Pembelajaran Kontekstual menjadi keutamaan dalam memberi tunjuk ajar kepada anak-anak ini.
Sebelum kursus berakhir, peserta kursus diminta melakonkan beberapa adegan berdasarkan masalah yang diberikan di samping mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut. Aktiviti simulasi ini dilaksanakan dalam kumpulan.
Setiap kumpulan diberi masa lebih kurang sepuluh minit untuk membincangkan tentang masalah yang diberi. Apa yang menjadi kesukaran bagi kami ialah apabila kami semua dikehendaki memegang watak murid-murid kelas pendidikan khas dengan pelbagai kategori. Manakala salah seorang akan memegang watak guru.
Majlis menjadi gamat dengan keletah beberapa orang guru yang berjaya membawa watak dengan baik dan berkesan biarpun pada mulanya agak malu untuk ke hadapan pentas.
No comments:
Post a Comment