welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, 5 June 2012

ALAHAI.... CUTI SEKOLAH....

Cuti sekolah memang dinantikan oleh murid-murid atau pelajar.  Malah ia juga menyeronokkan bagi guru-guru.  Mana tidaknya........  telah begitu lama menghadap pelajaran..... ada baiknya sesekali pergi bercuti bagi melepaskan lelah.  Merehatkan otak.

Namun ada kalanya percutian begini timbul sedikit kebimbangan di hati guru-guru pemulihan.  Manakan tidak...  kekadang percutian yang agak panjang menjadikan murid-murid lupa apa yang telah dipelajari.  Bagi yang sukar mengingat ataupun lemah daya ingatan, akan menjadikan dia ingat-ingat lupa huruf atau angka yang telah dikuasai.  Ada ketikanya sebut di mulut lain, ditulis lain pula.

Bukanlah bertujuan untuk memperkecilkan mereka, cuma pengalaman masa lalu menjadikan hati guru-guru pemulihan sedikit tergugat.  Namun begitu ada juga murid yang beruntung dan menunjukkan prestasi yang boleh dibanggakan setelah cuti berakhir.  Kemungkinan besar mereka turut mendapat bimbingan ibu bapa atau ahli keluarga yang prihatin membantu mereka semasa cuti sekolah berlangsung.  Komitmen mereka semua ini amat  dihargai.  Usaha murni mereka sedikit sebanyak membantu guru-guru pemulihan.  

Sebenarnya murid-murid pemulihan ini menghabiskan banyak masa di rumah.  Kalau hendak dihitung dan dikira, waktu mereka berada di kelas pemulihan hanya beberapa jam sahaja dalam sehari.  Jadi, perlulah ada gandingan mantap di rumah dan di sekolah bagi memulihkan mereka.  Kalau hanya bergantung harap sepenuhnya kepada guru pemulihan, kemungkinan untuk mereka berjaya menguasai kemahiran agak tipis.  

Komitmen ibu bapa dalam membimbing mereka di rumah amatlah dialu-alukan.  Biarpun ada kalanya mereka lambat, namun sekiranya mereka tekun dan bersungguh-sungguh insyaAllah mereka juga boleh berjaya.  Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu berusaha sendiri mengubahnya.  

Seperkara lagi yang turut membantutkan usaha membantu mereka ini ialah masalah keperluan bagi seorang murid yang tidak lengkap seperti, pensel, pemadam, pembaris dan juga pengasah pensel.  Ibu bapa sudah pasti mampu membeli kelengkapan ini.  Tapi amatlah malang kerana mereka jugalah yang seringkali ketiadaan pensel untuk menulis.  Malahan terpaksa pula meminjam pemadam dari kawan.  Sedih melihat keadaan sesetengah mereka.  Adakah mereka tidak dipedulikan???  Lebih malang lagi sekiranya ibu bapa mampu untuk menggunakan telefon bimbit.... sedangkan sebatang pensel berharga tiga puluh sen tak mampu dibeli, pemadan berharga dua puluh sen sukar untuk dicari.

Bukan semua anak-anak pemulihan ini berada dalam situasi begini, tapi memang inilah masalahnya yang terpaksa guru pemulihan hadapi.  Mesti berlaku insiden pinjam peminjam alat tulis dalam kalangan mereka murid kelas pemulihan.  Mudah-mudahan bermulanya persekolahan di semester kedua nanti.... masalah ini takkan berulang.

No comments:

Post a Comment