welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday 27 December 2012

PERJALANAN BAKAL DITERUSKAN

Disember kian berlalu pergi,
Januari bakal tampil mengganti;
Perjalanan akan diteruskan lagi,
Tanggungjawab sedia menanti.

Salam buat rakan setugas,
Beban kerja akan digalas;
Jauhi lalai dan juga culas,
Amanah dipikul dengan kemas.

Melangkah kita dengan harapan,
Membawa tekad penuh wawasan;
Anak-anak dididik menuju impian,
Bakal pemimpin masa hadapan.

Semailah sikap sayang menyayang,
Pilih kasih hendaklah dibuang;
Terimalah semua penuh ditatang,
Perlu dijeling juga dipandang.

Beza-membeza jangan amalkan,
Semuanya sama makhluk Tuhan;
Bimbingan diberi kita laksanakan,
Tanpa mengira apapun keadaan.

Yang cerdik tentu jadi perhatian,
Yang lemah pula jangan dipinggirkan;
Berikan tugasan biar berpadan,
Bukakan peluang membantu rakan.

Kelas perdana kelas pemulihan,
Amat berbeza dalam pencapaian;
Bekerja dalam satu pasukan,
Sama-sama kita inginkan kemajuan.

Saling bantu sama seiring,
Idea dikongsi kemahiran dijalin;
Anak didik sepakat dibimbing,
Sebarkan ilmu kepada yang lain.







Friday 21 December 2012

KENANGAN GURU PRAKTIKUM


Kenangan bersama guru praktikum dari IPGM, Hulu Kinta semasa mereka menjalani latihan mengajar di SK Lekir.  Kini Pn Zaimah dan Ummi Kalsum (sekarang bergelar puan) mengajar di salah sebuah daerah di negeri Selangor Darul Ehsan.  Semoga berjaya!

Tuesday 18 December 2012

TIGA WAJAH

 Farizuddin bin Alias menunjukkan perkembangan yang agak cepat daripada dua orang lagi rakannya dalam kelas yang sama.  Berjaya menguasai kemahiran dalam tempoh masa yang lebih singkat.  Namun begitu hanya satu sahaja yang membimbangkan,  dia mengalami disleksia.  Selalu tersilap mengeja dan menyebut antara huruf 'b' dan 'd'.  Kadang-kadang betul, ada kalanya salah kedua-duanya.  Kesilapan ini mengambil masa yang agak lama untuk dipulihkan. Hanya dua huruf ini sahaja yang mengganggu penguasaannya.  Justeru pengulangan dan pembetulan serta teguran perlu dilakukan.  Mudah-mudahan Farizuddin berjaya mengatasi masalah ini dengan bimbingan guru kelas dan guru mata pelajaran lain.  Teguran membina amat perlu, insyaAllah dia boleh berjaya.





Mohd Ferdaus Izwan bin Rosli (gambar kanan) dan Lokman bin Mok Tasim (gambar bawah), pada awalnya sukar mencantum suku kata KV+KV.  Terlalu payah membunyikan perkataan dengan betul walaupun dapat membunyikan suku kata KV dengan agak pantas.  Biasanya  suku kata awal disebut dengan betul, tetapi bila ditambah dengan suku kata seterusnya .....apa yang terjadi ialah bunyi awal hilang dan diganti pula dengan bunyi lain.  Contoh: bu + ka = muka,  be + la = bola .

Hanya kesabaran hati dan pengulangan berkali-kali (latih tubi) perlu diberi.  Seterusnya doa dan motivasi amat perlu bagi membantu menambah kuat semangat dan minat belajar mereka.   

Kekurangan yang sama bagi mereka berdua ini menyebabkan teknik dan kaedah yang 
digunapakai untuk membimbing mereka adalah 
sama.  Mereka berdua berada dalam kumpulan
yang sama.  Akhirnya berjaya menguasai banyak
kemahiran setelah dibimbing berulang kali.


Berkat kerajinan hadir ke sekolah, rajin membuat kerja sekolah yang diberi, serta sokongan keluarga di rumah juga doa emak ayah, insyaAllah mereka boleh berjaya.  

Sebenarnya tidak ada jalan pintas untuk mengecap kejayaan.  Dan kita semua tidak dilahirkan untuk gagal.  Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubahnya.  Allah akan memberi kejayaan kepada mereka yang berusaha, cuma masa dan ketikanya tidak kita ketahui.  Oleh itu usaha, usaha dan teruslah berusaha.  Guru-guru hanya membimbing dan mendidik di samping mendoakan mereka.  

Dan alhamdulillah, ketiga-tiga anak ini tidak lagi belajar di Kelas Pemulihan.  SELAMAT MENERUSKAN PERJUANGAN DI ARENA PERDANA!!!

Friday 14 December 2012

SEKOLAH KITA


Sebulan lebih sudah bercuti,
Sekolah tetap dijenguk sesekali;
Mungkin tanggungjawab ada berbaki,
Amanah pasti akan digalasi.

Pintu pejabat sentiasa terbuka,
Menerima pengunjung bila-bila masa;
Jam 8.00 pagi tugas bermula,
5.00 petang berakhirlah waktunya.

Guru Besar biasanya menanti,
Guru Kanan gilir silih berganti;
Sekolah tetap ada penghuni,
PPM bertugas sudahlah pasti.

Bulan Disember penutup tirai,
Banyak perkara mesti dilangsai;
Jual beli buku mesti diselesai,
Jangan terleka usahlah lalai.

Usia kita bakal meningkat,
Menyambung tugas penuh berkat;
Biarlah kita sama sepakat,
Membangunkan sekolah dengan muafakat.

Tak kira bertugas di kelas mana,
Susah senang sama dirasa;
Anak didik pelbagai kerenahnya,
Tenang dan sabar hadapi segalanya.








MEREKA BOLEH DIBANGGAKAN

DALAM kesibukan mendapatkan keputusan UPSR yang lalu, tidak dilupakan kepada bekas murid-murid pemulihan yang pernah diberi bimbingan.  Berikut adalah nama-nama  serta pencapaian mereka di dalam UPSR 2012.

Bil
Nama
BM
Pemahaman
BM
Penulisan
BI
Mate
Sains
1.
Muhammad Shahrizat bin Ahmad Sabri
A
A
C
A
B
2.
Mohamad Eldy Raful Nazmi bin Razmi
C
B
D
C
C
3.
Mohamad Akhiry bin Abdul Rahim
C
C
E
E
D
4.
Muhamad Amirul bin Abu Hassan
B
B
D
B
C
5.
Muhamad Fikri Azi bin Daman Huri
B
C
D
D
C
6.
Zul Izzhar Najmien bin Kahar
A
C
E
C
C
7.
Dayang Nur Athira binti Md Amin
C
A
D
B
C
8.
Norsyahira binti Ahmad Zaki
B
A
C
C
B
9.
Nurafiqah binti Mat Zainon
B
A
C
C
B
10.
Nur Syazwanie binti Zuhairi
C
D
D
C
C
11.
Nurul Ain Natasya binti Alias
B
C
C
C
B


Tahniah kepada mereka semua.  Teruskan usaha di sekolah menengah, mudah-mudahan anda mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.  
Ingat, sekali gagal bukan bermakna anda akan gagal buat selama-lamanya.  Jadikan ia batu loncatan untuk anda meraih kejayaan di masa hadapan.  Terus belajar dan belajar.  Usaha terus usaha.

Monday 5 November 2012

PELBAGAI JENIS MANUSIA

Ada empat jenis manusia dalam dunia ini:
1.  Orang yang...."make things happen"
2.  Orang yang ..."wait things happen"
3.  Orang yang ..."watch things happen"
4.  Orang yang ..."don't know what happen"
...... dalam golongan manakah kita berada?????

4 kategori manusia dikatakan:
1.  Celaka di dunia, bahagia di akhirat
2.  Bahagia di dunia, celaka di akhirat
3.  Celaka di dunia, celaka di akhirat
4.  Bahagia di dunia, bahagia di akhirat
...... dalam kategori manakah kita sekarang?????

Fikir-fikirkan....... cermin-cerminkan diri anda. 
Ubah sekarang ke arah yang positif dan memberi jaminan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.  Orang boleh menasihati dan memberi pandangan pada kita.  Sama ada kita mahu menerima pandangan mereka atau tidak, terserah.  Jadilah seperti lembah yang rendah, sentiasa menerima dengan hati yang terbuka dan mula mengorak langkah untuk berubah ke satu titik yang lebih baik.



"RAMAI MANUSIA TAHU YANG DIRINYA HAMBA ALLAH,
TAPI TAK SEDAR BAHAWA DIA HAMBA ALLAH"....Ustaz Pahrol Mohd Juoi.

Friday 2 November 2012

BERSABAR DUHAI HATI

ORANG KATA 'BELAJAR DARI PENGALAMAN'.....

Berada di bawah bumbung pemulihan khas ini sesungguhnya mengajar erti sabar tatkala mendidik.  

Kiranya ingin duduk-duduk goyang kaki bukanlah di sini tempatnya.  Malah ada yang beranggapan di sinilah destinasi paling akhir untuk ditempatkan anak-anak yang diistilahkan sebagai 'lambat', 'lembam', 'lemah' dan banyak lagi istilah yang tidak sedap didengar.

Untuk melepaskan kata-kata memang mudah.  Namun untuk menjilat semula apa yang pernah dihamburkan itu...... mampukah???  

Dan di sinilah bermulanya 'nasib' mereka.  Namun begitu ramai guru atau pendidik yang terpilih untuk menjadi ibu atau bapa bagi anak-anak begini di setiap sekolah patut menerima penghargaan.  Di sinilah medan untuk menguji kreativiti guru, malah menguji kesabaran guru.  

Dan bertitik tolak di sinilah ramai dalam kalangan anak-anak itu berjaya juga akhirnya.  Berkat kepayahan yang disulami kesabaran dan kekuatan semangat itulah menjadikan guru-guru pemulihan tetap setia dengan tugas membimbing dan mendidik anak-anak sedemikian.

Sesungguhnya Allah SWT menjadikan manusia berbagai rupa dan keistimewaannya.  Moga-moga guru-guru pemulihan sentiasa dapat menjaga hati dan bersyukur saat diuji.  Melaksanakan tugas dan amanah ini menuntut kesabaran.  Sesiapa yang bersemangat cekal dan kental berhadapan pelbagai kerenah manusia dan bertawakkal kepada Allah, mudah-mudahan berjaya melepasi takah ujian ini.  

Sesungguhnya DIA bersama orang-orang yang sabar.


Wednesday 31 October 2012

BANTULAH MEREKA


 Bolehkah mereka belajar sendiri?  Atau mampukah mereka mengendali sendiri peralatan canggih seperti komputer peribadi atau komputer riba yang sememangnya ada di sekolah?
 Jangan berada dalam zon 'negative thinking' atau sentiasa bersangka negatif terhadap murid-murid pemulihan.  Walaupun ada dalam kalangan mereka sukar menguasai beberapa kemahiran yang diajar, namun sebaliknya dengan peralatan canggih begini mereka menunjukkan minat dan tergerak hati untuk mencuba perkara baru.  Berilah mereka peluang. Mungkin melalui P&P begini mampu mengorak langkah dan menyemai rasa cinta dan semangat untuk belajar.

Pelbagai kemudahan yang disediakan di sekolah bukanlah hanya untuk guru atau tenaga pengajar semata-mata.  Ia juga bukanlah sebagai alatan yang perlu dijaga baik semata-mata untuk dijadikan bahan hiasan dan   penyeri makmal komputer sekolah.  Dan akhirnya jadilah ia seperti projek gajah putih yang langsung tidak mendatangkan sebarang faedah malah menyemakkan mata memandang.

 Mudah-mudahan dengan kelebihan dan kemudahan yang disediakan di sekolah dimanfaatkan betul-betul dengan tujuan menanam minat belajar dan membantu murid menguasai ilmu yang dicurahkan kepada mereka.

Friday 5 October 2012

DIA YANG KUKENAL...

SEJAK KEBELAKANGAN INI KEMALANGAN JALAN RAYA KERAP SANGAT BERLAKU.  Minggu lepas berturut-turut hari kami digemparkan dengan kemalangan yang membabitkan penduduk tempatan.  Peristiwa malang itu terjadi betul-betul di luar pagar hadapan sekolah.  

Namun lebih mencemaskan ialah kemalangan pagi semalam, iaitu 4 Oktober 2012 yang membabitkan anak didik kami sendiri.  Kejadian malang itu berlaku pada jam 6.35 pagi.  Lebih menyayat hati apabila yang terlibat itu ialah bekas muridku, di kelas Pemulihan Khas.  Daniel Hamizan namanya.

Dia mengalami kecederaan di bahagian tangan.  Ibunya yang turut cedera mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Lekir, Batu 9.  Aku kenal sangat akan Daniel.  Wajahnya bersih, berpakaian kemas dan rapi.  Walaupun telah ditempatkan di kelas PPKI namun dia seringkali menegurku jika terserempak denganku.  

Masih kuingat lagi ketika kami bersama.  Tulisannya sentiasa kemas walaupun agak sukar mengecam dan mengingat semua abjad yang diperkenalkan.  Cekap dan bijak mengatur warna apabila melakukan aktiviti mewarna di kelas.  Hasil kerjanya kelihatan cantik dan kemas.  Memandang wajahnya akan menimbulkan rasa terharu di benakku.  Tingkahnya sopan, hormat akan guru-guru.  Meskipun sukar mempelajari apa yang diajar dan dibimbing, namun aku memuji akhlaknya.  Tidak menimbulkan sebarang masalah buat kami di sekolah.

Cuma kelemahannya dari satu sudut.  Namun mungkin Allah melebihkannya dari sudut yang lain pula.  Mudah-mudahan anak ini sentiasa dilindungi Ilahi.  

Kelihatan Daniel (jam tangan biru) bersama rakan-rakannya di kelas PPKI


   

Kereta yang dinaiki Daniel bersama ibu dan adiknya (gambar ehsan blog SKL)


Thursday 9 August 2012

JAUH PERJALANAN MENAMBAH ILMU

PORT DICKSON, Negeri Sembilan,,,,,,,,,,,,,,,, jauh juga tempat kursus tersebut.  Namun atas dasar menambah dan memantapkan ilmu, kami berlapang dada ke sana.  Aku dan Wahida mengambil keputusan menaiki bas ke destinasi memandangkan tempat tersebut belum pernah kami jejaki.  Bimbang tersesat atau mungkin tempat dituju sukar ditemui!!!

Syukur alhamdulillah, kami akhirnya selamat tiba.  Tempat yang selesa dengan penceramah yang mesra.  Menarik sekali info yang kami terima.  Walaupun bukan tajuk berkaitan Pemulihan Khas namun ia berkait rapat dengan dunia kami.  Ceramah berkisar Autisme, Disleksia dan ADHD.  Pendek kata, ia berkaitan langsung dengan Pendidikan Khas!

 Ceramah atau taklimat berlangsung dalam dua bahasa.  Hanya seorang sahaja penceramah berkongsi ilmu sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.  Pendedahan tentang autisme, disleksia dan ADHD didedahkan kepada kami.  Kebarangkalian anak didik kami di kelas pemulihan khas mempunyai ciri-ciri yang diutarakan.  Dalam kategori manakah mereka???

Meskipun penceramah dan pemudahcara bukan terdiri daripada kaum Melayu, namun penggunaan bahasa Melayu mereka agak baik.  Bahasa Inggeris yang digunakan mudah difahami.  

Mengenali anak-anak yang mempunyai ciri-ciri autisme, disleksia dan adhd memerlukan pemerhatian secara langsung.  Sesetengahnya pula mengambil masa yang agak lama.  Pemerhatian perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan mereka berada dalam kategori yana mana satu,  

Dengan adanya pengetahuan tentang  perkara tersebut, maka guru pemulihan dapat mengenalpasti kedudukan murid-muridnya di tahap mana.  

 CIRI-CIRI AUTISME
- kurang senyum
- suka sendirian
- pengulangan
- bermain secara aneh
- suka kepada rutin
- masalah komunikasi dan sosial
 CIRI-CIRI ADHD
- kesukaran memulakan tugasan
- gangguan tumpuan perhatian
- mengelak tugasan yang memerlukan tumpuan lama
- sentiasa bergerak
- bercakap tak henti-henti
- sukar menunggu giliran
- sukar mengikut arahan


CIRI-CIRI DISLEKSIA
- daya ingatan jangka pendek yang lemah
- masalah dengan proses memperoleh semula  perkataan
- masalah dengan urutan / siri
- masalah berkenaan fonologi

 Masalah Pembelajaran Disleksia
* tahap IQ yang sederhana atau tinggi
* kelihatan normal
* belajar kebanyakan kemahiran dengan baik
* boleh bergaul dengan baik dengan rakan sebaya
* melukis dengan baik
* perlahan dalam proses membaca dan menulis


Friday 15 June 2012

JOM TAMBAH ILMU.....

Guru-guru pemulihan khas daerah Manjung telah berkursus di PPD Sitiawan pada hari Rabu, 13 Jun 2012 yang lalu bermula jam 2.00 petang.   Penceramah undangan iaitu Puan Rosiah binti Mohamed Ariff, Penolong Kanan Pendidikan Khas dari SMK Seri Samudera telah mengupas tajuk "Ciri-Ciri dan Strategi P&P murid Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran".

Menurut beliau antara punca mengapa kanak-kanak itu tidak normal ialah, faktor genetik (baka), faktor alam sekeliling dan faktor sebelum, semasa dan selepas kelahiran.

Ibu-ibu yang mengandung dalam usia 35 tahun ke atas berisiko mendapat anak sedemikian.  Begitulah mengikut kata pakar di bidang sains perubatan.  Namun ada juga di kalangan ibu-ibu yang berusia begitu tetap melahirkan anak-anak yang normal.  Pendek kata, semua itu adalah ketentuan qado dan qadar Allah.  Sesungguhnya DIA berkuasa atas segala sesuatu.

Guru-guru Pemulihan didedahkan dengan tujuh kategori kakak-kanak pendidikan khas, iaitu:
  • Lembam (slow learner)
  • Sindrom down
  • Autisme
  • Kerencatan akal
  • Tumpuan perhatian singkat (ADD/ADHD)
  • Celebral palsy
  • Disleksia
 Beliau memperincikan dengan jelasnya apakah yang dimaksudkan dengan istilah-istilah tersebut.  Majlis tambah ceria apabila Puan Rosiah menceritakan pengalamannya selama dua belas tahun bertugas dalam bidang Pendidikan Khas ini.  Pengalaman berharga itu menambahkan kematangan beliau dalam meneruskan usaha mendidik anak-anak yang bermasalah dalam pembelajaran.  

 Strategi dan pendekatan P&P yang berbeza wajar digunapakai oleh seseorang guru mengikut kreativiti masing-masing untuk memancing anak-anak khas ini agar turut serta dalam proses pembelajaran.  
Teknik Pembelajaran Masteri dan Pembelajaran Kontekstual menjadi keutamaan dalam memberi tunjuk ajar kepada anak-anak ini.


Sebelum kursus berakhir, peserta kursus diminta melakonkan beberapa adegan berdasarkan masalah yang diberikan di samping mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut.  Aktiviti simulasi ini dilaksanakan dalam kumpulan.  

Setiap kumpulan diberi masa lebih kurang sepuluh minit untuk membincangkan tentang masalah yang diberi.  Apa yang menjadi kesukaran bagi kami ialah apabila kami semua dikehendaki memegang watak murid-murid kelas pendidikan khas dengan pelbagai kategori.  Manakala salah seorang akan memegang watak guru.

Majlis menjadi gamat dengan keletah beberapa orang guru yang berjaya membawa watak dengan baik dan berkesan biarpun pada mulanya agak malu untuk ke hadapan pentas.
Kursus ini memberi maklumat dan pendedahan bagi mengesan masalah murid-murid yang berada di kelas pemulihan.  Kemungkinan ciri-ciri yang dinyatakan oleh penceramah ada pada murid pemulihan yang sedang dibimbing ataupun yang bakal diterima nanti.