Farizuddin bin Alias menunjukkan perkembangan yang agak cepat daripada dua orang lagi rakannya dalam kelas yang sama. Berjaya menguasai kemahiran dalam tempoh masa yang lebih singkat. Namun begitu hanya satu sahaja yang membimbangkan, dia mengalami disleksia. Selalu tersilap mengeja dan menyebut antara huruf 'b' dan 'd'. Kadang-kadang betul, ada kalanya salah kedua-duanya. Kesilapan ini mengambil masa yang agak lama untuk dipulihkan. Hanya dua huruf ini sahaja yang mengganggu penguasaannya. Justeru pengulangan dan pembetulan serta teguran perlu dilakukan. Mudah-mudahan Farizuddin berjaya mengatasi masalah ini dengan bimbingan guru kelas dan guru mata pelajaran lain. Teguran membina amat perlu, insyaAllah dia boleh berjaya.
Mohd Ferdaus Izwan bin Rosli (gambar kanan) dan Lokman bin Mok Tasim (gambar bawah), pada awalnya sukar mencantum suku kata KV+KV. Terlalu payah membunyikan perkataan dengan betul walaupun dapat membunyikan suku kata KV dengan agak pantas. Biasanya suku kata awal disebut dengan betul, tetapi bila ditambah dengan suku kata seterusnya .....apa yang terjadi ialah bunyi awal hilang dan diganti pula dengan bunyi lain. Contoh: bu + ka = muka, be + la = bola .
Hanya kesabaran hati dan pengulangan berkali-kali (latih tubi) perlu diberi. Seterusnya doa dan motivasi amat perlu bagi membantu menambah kuat semangat dan minat belajar mereka.
Kekurangan yang sama bagi mereka berdua ini menyebabkan teknik dan kaedah yang
digunapakai untuk membimbing mereka adalah
sama. Mereka berdua berada dalam kumpulan
yang sama. Akhirnya berjaya menguasai banyak
kemahiran setelah dibimbing berulang kali.
Berkat kerajinan hadir ke sekolah, rajin membuat kerja sekolah yang diberi, serta sokongan keluarga di rumah juga doa emak ayah, insyaAllah mereka boleh berjaya.
Sebenarnya tidak ada jalan pintas untuk mengecap kejayaan. Dan kita semua tidak dilahirkan untuk gagal. Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubahnya. Allah akan memberi kejayaan kepada mereka yang berusaha, cuma masa dan ketikanya tidak kita ketahui. Oleh itu usaha, usaha dan teruslah berusaha. Guru-guru hanya membimbing dan mendidik di samping mendoakan mereka.
Dan alhamdulillah, ketiga-tiga anak ini tidak lagi belajar di Kelas Pemulihan. SELAMAT MENERUSKAN PERJUANGAN DI ARENA PERDANA!!!
No comments:
Post a Comment