welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Showing posts with label SALAM PUISI. Show all posts
Showing posts with label SALAM PUISI. Show all posts

Friday, 3 January 2014

SELAMAT BERTEMU KEMBALI

Lama bercuti lebih sebulan,

Sunyi sepi Blog Pemulihan;
Selamat Tahun Baru kami ucapkan,
Buat anak-anak didik sekalian.

Sama melangkah di tahun ini,
Tanam semangat lebih berani;
Gandakan usaha sepenuh hati,
Amalkanlah nilai-nilai murni.

Ajaran guru jangan dibantah,
Mereka ibu merekalah ayah;
Kerja sekolah jangan berhelah,
Kalau bertangguh membawa padah.


Sikap negatif jangan amalkan,
Sikap positif cuba laksanakan;
Kepada guru bertanyalah soalan,
Rakan sahabat hulurkan bantuan.

Rajin usaha tangga kejayaan,
Perintah Allah jangan tinggalkan;
Jagalah hati guru dan rakan,
Semoga ilmu penuh keberkatan. 





Thursday, 21 February 2013

KENANGAN BERSAMAMU...

Petik sekuntum bunga melati,
Buat hiasan di tepak sirih;
Berkenal mesra denganmu Kak Ani,
Izin kuucap terima kasih.

Anak puyuh lari-larian,
Sayang kaki tersadung akar;
Kenangan bersama jadi ingatan,
Dalam hati semarak segar.

Anyam ketupat tengah halaman,
Ibu di dapur menenggek rendang;
Bersama-sama kongsi pengalaman,
Takkan hilang budi dipandang.



Mangga muda dibelah-belah,
Hajat hati nak buat jeruk;
Tiket relief dihulur sudah,
Terima sajalah jangan merajuk.

Selasih merimbun tepi perigi,
Bersulam pandan celah mencelah;
Guru Kanan gelaran diberi,
Urusan pentadbiran bukanlah mudah.

Anak padi subur menghijau,
Di tengah bendang sepat berkejaran;
Kelas Pemulihan sering ditinjau,
Bertanya khabar tidak dilupakan.




Sayang tempua bersarang rendah,
Burung kelicap di atas dahan;
Berkhidmat dengan penuh berhemah,
Saranan teguran jadi panduan.

Daun angsana jatuh guguran,
Mari menimpa bunga di taman;
Bila SKL puan tinggalkan,
Kepada kami dilupa jangan.

Padi sawah padi huma,
Enak sekali buah berangan;
Jenguklah kami sesekali cuma,
Jika Allah memberi kelapangan.





Tepung pelita si kuih cara,
Buat hidangan putera mahkota;
Kiranya ada tersilap bicara,
Ampun dan maaf kami meminta.

Jatuh mengalir si air mata,
Duduk mengenang di pinggir kali;
Sekadar di sini pertemuan kita,
Entahkan bila bersua kembali.

Thursday, 27 December 2012

PERJALANAN BAKAL DITERUSKAN

Disember kian berlalu pergi,
Januari bakal tampil mengganti;
Perjalanan akan diteruskan lagi,
Tanggungjawab sedia menanti.

Salam buat rakan setugas,
Beban kerja akan digalas;
Jauhi lalai dan juga culas,
Amanah dipikul dengan kemas.

Melangkah kita dengan harapan,
Membawa tekad penuh wawasan;
Anak-anak dididik menuju impian,
Bakal pemimpin masa hadapan.

Semailah sikap sayang menyayang,
Pilih kasih hendaklah dibuang;
Terimalah semua penuh ditatang,
Perlu dijeling juga dipandang.

Beza-membeza jangan amalkan,
Semuanya sama makhluk Tuhan;
Bimbingan diberi kita laksanakan,
Tanpa mengira apapun keadaan.

Yang cerdik tentu jadi perhatian,
Yang lemah pula jangan dipinggirkan;
Berikan tugasan biar berpadan,
Bukakan peluang membantu rakan.

Kelas perdana kelas pemulihan,
Amat berbeza dalam pencapaian;
Bekerja dalam satu pasukan,
Sama-sama kita inginkan kemajuan.

Saling bantu sama seiring,
Idea dikongsi kemahiran dijalin;
Anak didik sepakat dibimbing,
Sebarkan ilmu kepada yang lain.







Friday, 14 December 2012

SEKOLAH KITA


Sebulan lebih sudah bercuti,
Sekolah tetap dijenguk sesekali;
Mungkin tanggungjawab ada berbaki,
Amanah pasti akan digalasi.

Pintu pejabat sentiasa terbuka,
Menerima pengunjung bila-bila masa;
Jam 8.00 pagi tugas bermula,
5.00 petang berakhirlah waktunya.

Guru Besar biasanya menanti,
Guru Kanan gilir silih berganti;
Sekolah tetap ada penghuni,
PPM bertugas sudahlah pasti.

Bulan Disember penutup tirai,
Banyak perkara mesti dilangsai;
Jual beli buku mesti diselesai,
Jangan terleka usahlah lalai.

Usia kita bakal meningkat,
Menyambung tugas penuh berkat;
Biarlah kita sama sepakat,
Membangunkan sekolah dengan muafakat.

Tak kira bertugas di kelas mana,
Susah senang sama dirasa;
Anak didik pelbagai kerenahnya,
Tenang dan sabar hadapi segalanya.








Wednesday, 16 May 2012

SESEKALI BERSAMAMU.....

tatkala langkahan kakimu bermula.....
menyusur laluan penuh ranjau
meredah onak dengan amat payah
dalam hati penuh keraguan
bersarang kerisauan
berselimut tabir duka kecewa

akulah itu....
seorang guru tua 
sudi menerima hadirmu
rela menemanimu dalam langkah yang hanya bertatih
rebah dan jatuh bangun 
penuh sabar dan tabah
menunggumu tanpa tahu erti gelisah

akulah itu.....
sanggup seiringan denganmu
memadamkan garis-garis duka
yang berselirat di wajahmu
menghapuskan jalur-jalur nestapa
yang singgah di teratak hatimu

sesekali bersamamu,
    aku bermuhasabah diri
    belajar erti sebuah kepayahan
    menyelami erti sebuah kesabaran
    mengajak mengenali sebuah keikhlasan
    lantas memujuk hati agar mensyukuri nikmat Tuhan
    bahawa keistimewaanmu hanya Dia Yang Maha Tahu!!!