SEJAK KEBELAKANGAN INI KEMALANGAN JALAN RAYA KERAP SANGAT BERLAKU. Minggu lepas berturut-turut hari kami digemparkan dengan kemalangan yang membabitkan penduduk tempatan. Peristiwa malang itu terjadi betul-betul di luar pagar hadapan sekolah.
Namun lebih mencemaskan ialah kemalangan pagi semalam, iaitu 4 Oktober 2012 yang membabitkan anak didik kami sendiri. Kejadian malang itu berlaku pada jam 6.35 pagi. Lebih menyayat hati apabila yang terlibat itu ialah bekas muridku, di kelas Pemulihan Khas. Daniel Hamizan namanya.
Dia mengalami kecederaan di bahagian tangan. Ibunya yang turut cedera mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Lekir, Batu 9. Aku kenal sangat akan Daniel. Wajahnya bersih, berpakaian kemas dan rapi. Walaupun telah ditempatkan di kelas PPKI namun dia seringkali menegurku jika terserempak denganku.
Masih kuingat lagi ketika kami bersama. Tulisannya sentiasa kemas walaupun agak sukar mengecam dan mengingat semua abjad yang diperkenalkan. Cekap dan bijak mengatur warna apabila melakukan aktiviti mewarna di kelas. Hasil kerjanya kelihatan cantik dan kemas. Memandang wajahnya akan menimbulkan rasa terharu di benakku. Tingkahnya sopan, hormat akan guru-guru. Meskipun sukar mempelajari apa yang diajar dan dibimbing, namun aku memuji akhlaknya. Tidak menimbulkan sebarang masalah buat kami di sekolah.
Cuma kelemahannya dari satu sudut. Namun mungkin Allah melebihkannya dari sudut yang lain pula. Mudah-mudahan anak ini sentiasa dilindungi Ilahi.
Kelihatan Daniel (jam tangan biru) bersama rakan-rakannya di kelas PPKI |
Kereta yang dinaiki Daniel bersama ibu dan adiknya (gambar ehsan blog SKL) |
No comments:
Post a Comment