Kepada yang masih berada di kelas cikgu...... teruskan usahamu. Jangan tangguh-tangguh lagi. Hari pertama sekolah dibuka setelah lebih dua minggu bercuti, harap jangan buat-buat lupa ya. Bersemangatlah selalu. Orang lain boleh, takkan kita tak boleh!
Jadual kelas cikgu ada perubahan besar. Sebarang perubahan akan dimaklumkan. Jadualnya sudah lama cikgu siapkan.
Bagaimana dengan cuti anda semua? Seronok tu sudah tentu.... Cuti kali ini lama juga. Maaflah kerana cikgu tidak dapat mengadakan kelas tambahan seperti cuti-cuti yang lalu. Banyak urusan lain yang perlu diselesaikan. Apa pun, harapan cikgu agar anda semua bijak mengurus masa. Pesanan cikgu sebelum cuti lalu boleh dijadikan panduan bagi mengelakkan 'lupa' akan sekolah dan 'lupa' apa yang telah dipelajari.
Selamat Datang kepada anak-anak Tahun Satu ke kelas ini. Inshaallah nanti kita jumpa! Tanamkan azam bahawa anda juga boleh berjaya seperti murid-murid lain. Cuma perbaiki sikap dan akhlak. Kita bukan dilahirkan untuk gagal. Barangkali mungkin kita agak lambat, tapi usaha dan ikhtiar perlu ada. Bak pepatah Melayu, 'Belakang parang diasah lagikan tajam'. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubahnya. Sesiapa yang berusaha, inshaallah dia akan berjaya.
Kepada cikgu-cikgu yang telah berusaha sungguh-sungguh membantu anak-anak semua, cikgu ucapkan tahniah. Mereka dengan sabar dan tabah mengajar tulis baca..... seperti puisi Usman Awang itu. Cikgu akan cuba bantu pula. Mudah-mudahan berkat kesungguhan kita semua, Allah kurniakan yang terbaik buat kita.
Barangkali kenal wajah-wajah ini, bukan? Ingat, tanpa mereka siapalah kita. Di sekolah, mereka inilah pengganti ibu anak-anak. Dialah guru, dia jugalah doktor, dia tukang sapu, dia tukang cuci, dia jurulatih, dia penghibur, dia juga pelakon...... dia juga bendahari dan kerani! Jawatannya satu, namun tugasnya besar. Betapa hebatnya insan ini yang hanya kita panggil 'cikgu'.
Semua cikgu sama sahaja, ingin melihat anak-anak didiknya berjaya. Ingin melihat anak didiknya menjadi insan berguna suatu hari nanti. Apa yang penting, jaga tingkah laku. Kalau berjaya setinggi manapun tapi akhlak tak baik, tak guna juga. Hormatilah cikgu, kenanglah jasanya. Niatkan dalam hati bahawa kita ke sekolah dengan tujuan menuntut ilmu. Mudah-mudahan apa yang kita pelajari beroleh keberkatan dariNYA.
No comments:
Post a Comment