welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, 4 May 2012

KASIHANILAH MEREKA

Dalam setandan kelapa yang elok itu kadangkala ada juga yang buruk ataupun tidak elok.  Begitulah juga dengan anak-anak yang ada di dalam sesebuah keluarga.  Kadangkala dalam ramai-ramai itu ada juga seorang dua yang kurang sedikit daripada yang lain.  Perkara ini memang tidak dapat dinafikan.  

Begitulah anugerah Allah kepada hamba-Nya.  Bila difikir-fikirkan, semua itu menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah yang menciptakan kita semua.  Ada ketikanya mungkin Allah hendak menguji kita, menguji setakat mana kesabaran dan kekuatan kita.  Mungkin melalui jalan itu dapat menambah kehebatan kita.

Setiap manusia yang dicipta oleh Allah mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing.  Begitulah juga murid-murid yang berada di kelas Pemulihan Khas. Walaupun dari sudut akademik mereka nampak agak kurang, namun mereka mempunyai kehebatan tersendiri dari sudut lain.  Jangan kita memandang rendah terhadap mereka.

Sentiasalah memberi sokongan kepada mereka.  Berikan tunjuk ajar dengan penuh kesabaran walaupun kekadang kita merasakan kesabaran kita benar-benar teruji.  Kita juga merasakan bahawa kesabaran kita itu ada hadnya.  

Namun percayalah bahawa di sebalik ujian dan cabaran itu ada hikmah besar yang mungkin tak terjangkau dek akal kita.  Sentiasalah muhasabah diri, merenung jauh ke dalam diri.  Mungkin kita merupakan insan pilihan untuk mencurah bakti kepada mereka.  Tanpa sedar, mungkin ada hikmahnya kita ditempatkan bersama anak-anak ini melalui dugaan dan cabaran yang bakal mereka tempuh nanti.

Kita merupakan antara guru-guru tempat mereka berpaut kasih sayang.  Tempat berkongsi kisah suka duka mereka.  Malahan pengganti ibu ayah mereka.  Curahkan segala ilmu yang ada untuk mendidik mereka.  Siapkan juga bekalan ilmu akhirat yang mungkin dapat diselitkan dalam P&P kita.  Kita bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan di muka bumi ini.  Kita sudah pasti akan dipersoalkan ke mana arah kita bawa mereka nanti.

Mudah-mudahan keikhlasan kita membimbing mereka dinilai Allah jua.  Mudah-mudahan Allah memberkati hidup mereka di dunia mahupun di akhirat.  

No comments:

Post a Comment