Program Motivasi dan P&P Guru-guru Pemulihan Khas Daerah Manjung telah diadakan pada 19 Mac 2013 yang lalu bertempat di Dewan Samudera, SK Seri Bayu, Manjung Raya.
Program ini yang bermula jam 2.00 petang adalah untuk semua guru pemulihan merangkumi SK, SJK(C) dan SJK(T). Penceramah yang diundang ialah En. Hamidun bin Jamli, Kaunselor Organisasi PPD Daerah Manjung.
Menurut beliau, guru-guru patut bersyukur dan berterima kasih kerana terpilih menjadi guru Pemulihan Khas. Guru Pemulihan merupakan guru yang hebat. Sesungguhnya darjat seseorang guru adalah ditentukan oleh diri guru itu sendiri. Tugas guru ialah menyampaikan ilmu, iaitu satu tugas yang mulia. Bukan sahaja guru-guru memperoleh gaji, malahan ada ganjaran di akhirat pula. Ilmu yang disampaikan itu bermanfaat kepada murid jua diri guru itu sendiri.
Namun bagaimanakah tugas itu dikira bermanfaat kepada diri dan orang lain? Pendek kata guru yang bertugas dengan penuh ikhlas serta dengan niat yang betul, mereka itulah yang bakal memperoleh ganjaran atau pahala yang besar di akhirat nanti.
Beliau menambah, perlu ada empat perkara pada diri seorang guru yang cemerlang. Cemerlang dari aspek IQ, EQ, PQ dan SQ. Guru-guru sentiasa kena 'update' keilmuan yang ada. Emosi kena kawal selalu terutama dalam menangani anak didik dan melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Di samping itu fizikal dan kesihatan perlu dijaga. Seterusnya spiritual atau kepercayaan (agama) mesti disekalikan dalam diri. Dengan itu barulah seorang guru itu dikira cemerlang.
Cikgu yang melahirkan murid yang lebih hebat daripada dirinya adalah merupakan guru yang hebat! Kejayaan seseorang individu itu adalah bergantung kepada 80% EQ dan 20% IQ. Kiranya hendak menjadi orang hebat, mesti ada gandingan sikap (attitude), kemahiran (skills), pengetahuan (knowledge) dan pengalaman (experience).
Penceramah mengingatkan juga bahawa dalam diri seorang guru itu perlu ada kekuatan kasih sayang. Dengan kasih sayang itulah akan melahirkan insan yang baik, merasakan diri dihargai dan dapat belajar dengan gembira dan ceria.
Ceramah yang diselang seli dengan sedikit aktiviti ringan dan respon guru-guru menjadikan program tambah ceria dan mesra.
(Nota : Sebagai umat Islam, usaha, doa dan tawakkal itu perlu dicanai bersama bagi menjadikan diri seorang guru yang hebat).
No comments:
Post a Comment