Sudah terlalu lama menyepi, kini tampil
dengan hasil usaha yang dapat dikongsi
bersama.
Guru-guru Linus dan Pemulihan Khas yang berusaha bertungkus lumus, sokongan dari pelbagai pihak dan usaha anak didik itu sendiri membuahkan hasil. Namun pada Yang Maha Esa jangan dilupa terus. Tanpa DIA manakan mungkin usaha kita berjaya.
Namun amat malang kiranya ada pihak berharap munculnya keajaiban dengan mengharap seratus peratus berjaya melepasi ujian ini. Insan yang kenal dan berhadapan dengan anak didik yang agak mencabar ini adalah guru-gurunya. Cikgu yang setiap hari berhadapan dengan pelbagai kerenah dan situasi. Yang tidak pernah duduk menghadap mereka sudah tentu tidak dapat merasai keperitan dan kemanisan yang dikecapi.
Sama ada cikgu......ustazah..... teacher...... yang hampir setiap hari menghadam jerih payah yang menguji kesabaran. Usah bicara tentang kejayaan menggunung, kiranya tidak pernah bertentang mata, berkongsi cerita suka duka, mengulit lelah melangkah seiringan.
Di mana ada usaha, doa dan tawakkal, insha-Allah bakal mengecap nikmat kejayaan! Namun usah mengharap ia akan berlaku dalam sekelip mata! Mungkin terpaksa menghabisi berhari-hari, barangkali berbulan-bulan ataupun bertahun-tahun untuk pandai membaca, menulis dan mengira. Kami guru-guru hanya merancang dan meneruskan usaha, dan Yang Maha Kuasa akan menentukan segalanya.
Bagi guru-guru yang dikasihi....... baik cikgu, atau teacher, atau ustazah, teruskan memberi didikan. Ilmu yang bermanfaat sungguh tinggi nilainya. Allah melihat usaha kita. Bersabarlah dan bersyukurlah!!! Bukan kita yang menentukan mereka pandai sehingga boleh melepasi Saringan 2 itu.... terserah pada Allah SWT. Pergantungan kita hanya pada DIA. Kalau mereka berjaya, bersyukurlah. Jika sebaliknya, bersabarlah.
Jangan kita mendahului kehebatan Allah, menyangkakan kita boleh segala-galanya. Tanpa pertolongan dan ehsanNYA.... siapalah kita. TAHNIAH buat rakan dan sahabat semua. Teruskan menjaga amanah yang diberi, sampaikanlah ilmu kepada mereka yang memerlukan, sesungguhnya DIA yang amat memahami kita yang bergelar 'guru'! Dengan lembut sabarnya mengajar ..... tulis......baca.....
BERBURU KE PADANG DATAR
DAPAT RUSA BELANG KAKI
BERGURU KEPALANG AJAR
BAGAI BUNGA KEMBANG TAK JADI