welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, 31 October 2012

BANTULAH MEREKA


 Bolehkah mereka belajar sendiri?  Atau mampukah mereka mengendali sendiri peralatan canggih seperti komputer peribadi atau komputer riba yang sememangnya ada di sekolah?
 Jangan berada dalam zon 'negative thinking' atau sentiasa bersangka negatif terhadap murid-murid pemulihan.  Walaupun ada dalam kalangan mereka sukar menguasai beberapa kemahiran yang diajar, namun sebaliknya dengan peralatan canggih begini mereka menunjukkan minat dan tergerak hati untuk mencuba perkara baru.  Berilah mereka peluang. Mungkin melalui P&P begini mampu mengorak langkah dan menyemai rasa cinta dan semangat untuk belajar.

Pelbagai kemudahan yang disediakan di sekolah bukanlah hanya untuk guru atau tenaga pengajar semata-mata.  Ia juga bukanlah sebagai alatan yang perlu dijaga baik semata-mata untuk dijadikan bahan hiasan dan   penyeri makmal komputer sekolah.  Dan akhirnya jadilah ia seperti projek gajah putih yang langsung tidak mendatangkan sebarang faedah malah menyemakkan mata memandang.

 Mudah-mudahan dengan kelebihan dan kemudahan yang disediakan di sekolah dimanfaatkan betul-betul dengan tujuan menanam minat belajar dan membantu murid menguasai ilmu yang dicurahkan kepada mereka.

Friday, 5 October 2012

DIA YANG KUKENAL...

SEJAK KEBELAKANGAN INI KEMALANGAN JALAN RAYA KERAP SANGAT BERLAKU.  Minggu lepas berturut-turut hari kami digemparkan dengan kemalangan yang membabitkan penduduk tempatan.  Peristiwa malang itu terjadi betul-betul di luar pagar hadapan sekolah.  

Namun lebih mencemaskan ialah kemalangan pagi semalam, iaitu 4 Oktober 2012 yang membabitkan anak didik kami sendiri.  Kejadian malang itu berlaku pada jam 6.35 pagi.  Lebih menyayat hati apabila yang terlibat itu ialah bekas muridku, di kelas Pemulihan Khas.  Daniel Hamizan namanya.

Dia mengalami kecederaan di bahagian tangan.  Ibunya yang turut cedera mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Lekir, Batu 9.  Aku kenal sangat akan Daniel.  Wajahnya bersih, berpakaian kemas dan rapi.  Walaupun telah ditempatkan di kelas PPKI namun dia seringkali menegurku jika terserempak denganku.  

Masih kuingat lagi ketika kami bersama.  Tulisannya sentiasa kemas walaupun agak sukar mengecam dan mengingat semua abjad yang diperkenalkan.  Cekap dan bijak mengatur warna apabila melakukan aktiviti mewarna di kelas.  Hasil kerjanya kelihatan cantik dan kemas.  Memandang wajahnya akan menimbulkan rasa terharu di benakku.  Tingkahnya sopan, hormat akan guru-guru.  Meskipun sukar mempelajari apa yang diajar dan dibimbing, namun aku memuji akhlaknya.  Tidak menimbulkan sebarang masalah buat kami di sekolah.

Cuma kelemahannya dari satu sudut.  Namun mungkin Allah melebihkannya dari sudut yang lain pula.  Mudah-mudahan anak ini sentiasa dilindungi Ilahi.  

Kelihatan Daniel (jam tangan biru) bersama rakan-rakannya di kelas PPKI


   

Kereta yang dinaiki Daniel bersama ibu dan adiknya (gambar ehsan blog SKL)