Disiplin merupakan perkara penting untuk mencapai kecemerlangan. Tidak hairanlah rata-rata yang kita lihat mereka yang berjaya dan cemerlang hari ini merupakan seorang yang berdisiplin dalam hidupnya.
Seseorang itu perlu ada perasaan tanggungjawab dalam melakukan tugasnya. Penggunaan tenaga yang optimum perlu diambilkira. Pengalaman yang ada wajar diadun dan dicanai serta dibentuk bagi melahirkan sesuatu yang boleh diterima oleh masyarakat. Segala gabungan unsur-unsur tersebut perlu digemblengkan bagi mewujudkan budaya kerja yang cemerlang.
Dalam aspek ini kita mesti bersikap jujur dengan tugas kita. Amanah dan tanggungjawab yang diberi perlu dipikul sebaik mungkin. Dalam bekerja juga perlu ada strategi. Kita perlu kenal kedudukan kita, tahu apa peranan kita, malah tabah dalam menghadapi cabaran atau halangan yang bakal kita tempuhi. Cabaran utama adalah dari dalam diri kita sendiri.
Sekiranya kita ditegur, jangan mudah melatah. Mungkin ada teguran membina yang boleh kita terima pakai sebagai penambahbaikan kerja kita. Perbaikilah kesilapan kita di samping meneruskan usaha ke arah membangunkan dan mempertingkatkan kerja kita. Kalau kita asyik mendengar komen orang, takkan ke mana sudahnya kita.
Bagaimanakah hendak seronok bekerja? Sentiasalah memasang niat bahawa kita bekerja ikhlas kerana Allah. Mengharapkan kerja kita dinilai sebagai suatu ibadah malahan kerja itu tidak melalaikan kita hingga melupai Tuhan Yang Maha Mencipta. Selain itu ingatlah juga bahawa ilmu yang kita ada patut kita kongsi bersama rakan sekerja demi menaikkan produktiviti jabatan tempat kita bekerja.
Sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua staff, menghormati yang di atas mahupun yang di bawah kita. Tanpa mereka siapalah kita. Mungkin tanpa sokongan dan bantuan mereka juga kita takkan berjaya hingga ke tahap sekarang.