welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, 27 December 2012

PERJALANAN BAKAL DITERUSKAN

Disember kian berlalu pergi,
Januari bakal tampil mengganti;
Perjalanan akan diteruskan lagi,
Tanggungjawab sedia menanti.

Salam buat rakan setugas,
Beban kerja akan digalas;
Jauhi lalai dan juga culas,
Amanah dipikul dengan kemas.

Melangkah kita dengan harapan,
Membawa tekad penuh wawasan;
Anak-anak dididik menuju impian,
Bakal pemimpin masa hadapan.

Semailah sikap sayang menyayang,
Pilih kasih hendaklah dibuang;
Terimalah semua penuh ditatang,
Perlu dijeling juga dipandang.

Beza-membeza jangan amalkan,
Semuanya sama makhluk Tuhan;
Bimbingan diberi kita laksanakan,
Tanpa mengira apapun keadaan.

Yang cerdik tentu jadi perhatian,
Yang lemah pula jangan dipinggirkan;
Berikan tugasan biar berpadan,
Bukakan peluang membantu rakan.

Kelas perdana kelas pemulihan,
Amat berbeza dalam pencapaian;
Bekerja dalam satu pasukan,
Sama-sama kita inginkan kemajuan.

Saling bantu sama seiring,
Idea dikongsi kemahiran dijalin;
Anak didik sepakat dibimbing,
Sebarkan ilmu kepada yang lain.







Friday, 21 December 2012

KENANGAN GURU PRAKTIKUM


Kenangan bersama guru praktikum dari IPGM, Hulu Kinta semasa mereka menjalani latihan mengajar di SK Lekir.  Kini Pn Zaimah dan Ummi Kalsum (sekarang bergelar puan) mengajar di salah sebuah daerah di negeri Selangor Darul Ehsan.  Semoga berjaya!

Tuesday, 18 December 2012

TIGA WAJAH

 Farizuddin bin Alias menunjukkan perkembangan yang agak cepat daripada dua orang lagi rakannya dalam kelas yang sama.  Berjaya menguasai kemahiran dalam tempoh masa yang lebih singkat.  Namun begitu hanya satu sahaja yang membimbangkan,  dia mengalami disleksia.  Selalu tersilap mengeja dan menyebut antara huruf 'b' dan 'd'.  Kadang-kadang betul, ada kalanya salah kedua-duanya.  Kesilapan ini mengambil masa yang agak lama untuk dipulihkan. Hanya dua huruf ini sahaja yang mengganggu penguasaannya.  Justeru pengulangan dan pembetulan serta teguran perlu dilakukan.  Mudah-mudahan Farizuddin berjaya mengatasi masalah ini dengan bimbingan guru kelas dan guru mata pelajaran lain.  Teguran membina amat perlu, insyaAllah dia boleh berjaya.





Mohd Ferdaus Izwan bin Rosli (gambar kanan) dan Lokman bin Mok Tasim (gambar bawah), pada awalnya sukar mencantum suku kata KV+KV.  Terlalu payah membunyikan perkataan dengan betul walaupun dapat membunyikan suku kata KV dengan agak pantas.  Biasanya  suku kata awal disebut dengan betul, tetapi bila ditambah dengan suku kata seterusnya .....apa yang terjadi ialah bunyi awal hilang dan diganti pula dengan bunyi lain.  Contoh: bu + ka = muka,  be + la = bola .

Hanya kesabaran hati dan pengulangan berkali-kali (latih tubi) perlu diberi.  Seterusnya doa dan motivasi amat perlu bagi membantu menambah kuat semangat dan minat belajar mereka.   

Kekurangan yang sama bagi mereka berdua ini menyebabkan teknik dan kaedah yang 
digunapakai untuk membimbing mereka adalah 
sama.  Mereka berdua berada dalam kumpulan
yang sama.  Akhirnya berjaya menguasai banyak
kemahiran setelah dibimbing berulang kali.


Berkat kerajinan hadir ke sekolah, rajin membuat kerja sekolah yang diberi, serta sokongan keluarga di rumah juga doa emak ayah, insyaAllah mereka boleh berjaya.  

Sebenarnya tidak ada jalan pintas untuk mengecap kejayaan.  Dan kita semua tidak dilahirkan untuk gagal.  Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubahnya.  Allah akan memberi kejayaan kepada mereka yang berusaha, cuma masa dan ketikanya tidak kita ketahui.  Oleh itu usaha, usaha dan teruslah berusaha.  Guru-guru hanya membimbing dan mendidik di samping mendoakan mereka.  

Dan alhamdulillah, ketiga-tiga anak ini tidak lagi belajar di Kelas Pemulihan.  SELAMAT MENERUSKAN PERJUANGAN DI ARENA PERDANA!!!

Friday, 14 December 2012

SEKOLAH KITA


Sebulan lebih sudah bercuti,
Sekolah tetap dijenguk sesekali;
Mungkin tanggungjawab ada berbaki,
Amanah pasti akan digalasi.

Pintu pejabat sentiasa terbuka,
Menerima pengunjung bila-bila masa;
Jam 8.00 pagi tugas bermula,
5.00 petang berakhirlah waktunya.

Guru Besar biasanya menanti,
Guru Kanan gilir silih berganti;
Sekolah tetap ada penghuni,
PPM bertugas sudahlah pasti.

Bulan Disember penutup tirai,
Banyak perkara mesti dilangsai;
Jual beli buku mesti diselesai,
Jangan terleka usahlah lalai.

Usia kita bakal meningkat,
Menyambung tugas penuh berkat;
Biarlah kita sama sepakat,
Membangunkan sekolah dengan muafakat.

Tak kira bertugas di kelas mana,
Susah senang sama dirasa;
Anak didik pelbagai kerenahnya,
Tenang dan sabar hadapi segalanya.








MEREKA BOLEH DIBANGGAKAN

DALAM kesibukan mendapatkan keputusan UPSR yang lalu, tidak dilupakan kepada bekas murid-murid pemulihan yang pernah diberi bimbingan.  Berikut adalah nama-nama  serta pencapaian mereka di dalam UPSR 2012.

Bil
Nama
BM
Pemahaman
BM
Penulisan
BI
Mate
Sains
1.
Muhammad Shahrizat bin Ahmad Sabri
A
A
C
A
B
2.
Mohamad Eldy Raful Nazmi bin Razmi
C
B
D
C
C
3.
Mohamad Akhiry bin Abdul Rahim
C
C
E
E
D
4.
Muhamad Amirul bin Abu Hassan
B
B
D
B
C
5.
Muhamad Fikri Azi bin Daman Huri
B
C
D
D
C
6.
Zul Izzhar Najmien bin Kahar
A
C
E
C
C
7.
Dayang Nur Athira binti Md Amin
C
A
D
B
C
8.
Norsyahira binti Ahmad Zaki
B
A
C
C
B
9.
Nurafiqah binti Mat Zainon
B
A
C
C
B
10.
Nur Syazwanie binti Zuhairi
C
D
D
C
C
11.
Nurul Ain Natasya binti Alias
B
C
C
C
B


Tahniah kepada mereka semua.  Teruskan usaha di sekolah menengah, mudah-mudahan anda mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.  
Ingat, sekali gagal bukan bermakna anda akan gagal buat selama-lamanya.  Jadikan ia batu loncatan untuk anda meraih kejayaan di masa hadapan.  Terus belajar dan belajar.  Usaha terus usaha.