tatkala langkahan kakimu bermula.....
menyusur laluan penuh ranjau
meredah onak dengan amat payah
dalam hati penuh keraguan
bersarang kerisauan
berselimut tabir duka kecewa
akulah itu....
seorang guru tua
sudi menerima hadirmu
rela menemanimu dalam langkah yang hanya bertatih
rebah dan jatuh bangun
penuh sabar dan tabah
menunggumu tanpa tahu erti gelisah
akulah itu.....
sanggup seiringan denganmu
memadamkan garis-garis duka
yang berselirat di wajahmu
menghapuskan jalur-jalur nestapa
yang singgah di teratak hatimu
sesekali bersamamu,
aku bermuhasabah diri
belajar erti sebuah kepayahan
menyelami erti sebuah kesabaran
mengajak mengenali sebuah keikhlasan
lantas memujuk hati agar mensyukuri nikmat Tuhan
bahawa keistimewaanmu hanya Dia Yang Maha Tahu!!!