welcome


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, 9 November 2013

HARI TERBUKA PEMULIHAN KHAS & PENDIDKAN KHAS DAERAH MANJUNG 2013

HARI TERBUKA Pemulihan Khas dan Pendidikan Khas telah berlangsung di SK Seri Sitiawan dan SMK Seri Samudera pada30 Oktober 2013 yang lalu.

Seminar telah diadakan di dewan SMK
Seri Samudera jam 8.00 hingga 10.00
pagi dengan penceramah yang didatangkan khas dari UPSI, Tanjung Malim. Seminar tersebut dihadiri oleh Guru Besar, Pengetua, Guru-Guru Pendidikan dan Pemulihan Khas, Pembantu Pengurusan Murid serta ibu bapa murid pemulihan/ pendidikan khas. 
murid-murid PPKI SK Lekir yang hadir sama



Dalam masa yang sama Pertandingan Mewarna dan Cantuman Puzzle bagi Sekolah Rendah (Pemulihan & Pendidkan Khas) berlangsung SK Seri Sitiawan.
Acara bagi Sekolah Menengah yang mempunyai kelas Pendidikan Khas pula ialah Pertandingan Melukis dan Teka Silangkata yang turut diadakan di lokasi yang sama.



Majlis penutup bertambah seri dengan
pelbagai persembahan dari murid-murid
Pendidikan Khas.  Beberapa orang murid Pendidikan Khas SK Lekir turut menunjukkan persembahan yang begitu menarik.  Tahniah buat mereka!  Juga tahniah juga ditujukan khas kepada Cikgu Zakiah Ahmad yang bersusah payah melatih murid-murid berkenaan.

Pameran Bahan Bantu Mengajar
yang disediakan oleh guru-guru Pemulihan Khas seluruh daerah Manjung turut diadakan.  Di samping itu hasil kerja tangan guru-guru, ppm dan murid-murid Pendidikan Khas turut dipamerkan.  Semuanya menarik sekali!

Majlis Penutup berakhir dengan penyampaian hadiah.  Tahniah untuk Mohd Nasrullah yang berjaya menjadi johan dalam pertandingan cantuman puzzle dan Mohd Aiman Zhafri bin Zulkuornain tempat ketiga bagi acara mewarna mewakili kelas PPKI SK Lekir.











(Foto ehsan Pn Anira Mustafa)

Monday, 4 November 2013

TAHNIAH BUAT SEMUA!

2013 bakal melabuhkan tirai.  Sepanjang tahun ini pelbagai kaedah dan teknik PdP dicuba bagi membantu penguasaan 3M, 2M dan 12 konstruks dalam literasi dan numerasi.  Dan hasilnya nama-nama di bawah telah berjaya melepasi ujian yang dijalankan.  Sekalung tahniah buat semua, termasuk:

  • Anak-anak didik yang terus berusaha
  • Para pendidik yang bekerjasama
  • Sokongan ibu bapa di rumah
  • Rahmat dan kasih dari Yang Maha Esa
..........tanpa anda semua kejayaan takkan dimiliki........  alhamdulillah!


Mohd Adam Danish bin Azaidi (1P)
Areefa binti Zakri (2P)
Mohammad Razim bin Abdul Razak (2P)
Mohd Kamal Hakimi bin Ahmat Kazali (2P)
Mohd Zuliqbal bin Mohd Azizi (2P)
Nurul Najihah binti Rosman (3P)
Nurul Nadila binti Abdullah (5P)
Nurul Ain Nazirah binti Alias (5P)
Mohd Afiq Farhan bin Mohd Fadhil (5P)

juga TAHNIAH buat yang berjaya dalam pertandingan kelas Pemulihan Khas:

1. Pertandingan Mewarna :  Irdina Wafa binti Mohamad Farix (1P)
2. Tulisan Cantik                 :  Amirul Azim bin Zaywi @ Zawawi (1P)






 Terima kasih dan tahniah atas 
persembahan
 anda semua dengan lagu
 "Mawar Putih, Mawar Merah".  

 Jangan malu dan jangan takut 
bila diminta membuat persembahan
.....  anda semua berbakat!

Tuesday, 1 October 2013

ESOK ADA KELAS, CIKGU?

"Esok ada kelas, cikgu?"  soalan itu sering kudengar tika aku bertugas di kedai buku sekolah terutamanya pada waktu rehat.

"Insya-Allah ada," jawabku ringkas sambil melayan urus niaga dengan anak-anak didik yang lain.  

Soalan sedemikan akan menerobos cuping telingaku pada hari Rabu, semasa rehat tahap dua.  Tidak jemu dia bertanya soalan sedemikian.  Pastinya orang yang bertanya adalah orang yang sama.  

Entahlah..... aku tidak pasti sama ada dia gembira belajar denganku atau sebaliknya.  Dan aku pun tidak pernah bertanya.  Namun setakat ini dia lulus ketiga-tiga ujian yang diberi sepanjang tahun ini untuk program pemulihan. Begitu juga dengan kawan baiknya.  

Namun kelemahan mereka agak ketara dalam ejaan dan membina ayat. Ini menyebabkan aku mengambil keputusan untuk terus memberi bimbingan kepada mereka.  Malangnya dalam seminggu hanya satu jam sahaja kami dapat bersama.  Mudah-mudahan kemahiran yang diajar dapatlah dikuasai sedikit demi sedikit.  Apa yang penting ialah ulang kaji di rumah dan menyiapkan kerja rumah yang diberi.  Tidak memadai jika hanya belajar di dalam kelas tanpa membuat pengulangan di rumah.

Janganlah mengharapkan seratus peratus kepada guru di sekolah semata-mata.  Berapa lamakah masa yang diambil untuk satu-satu subjek yang dipelajari.....   Ibu bapa perlu berkorban masa dalam membantu anak-anak ini di rumah.  Luangkanlah sedikit masa untuk menyemak, mambantu malah menunggu mereka menyiapkan kerja rumah atau mengulang kaji.

Jika tidak sedemikian, tidak ada kesinambungannya pendidikan di sekolah dengan di rumah.  Hasilnya...... kebanyakan kerja rumah yang guru-guru berikan tidak disipakan di rumah.  Lebih mendukacitakan guru-guru lagi ialah pelbagai alasan sering anak-anak didik ini nyatakan.  

Paling menyeronokkan guru-guru pula ialah bila mana awal-awal pagi kerja rumah yang diamanahkan telah sedia diletakkan di atas meja guru.  Tidak payahlah terjerit-jerit meminta kerja rumah dihantar sehingga mengakibatkan waktu terkorban sia-sia.   Akhirnya guru mengajar dalam keadaan yang selesa di samping kelas yang ceria.  Semuanya dengan pengorbanan guru, murid dan ibu bapa.  

..... Dan esok hari Rabu lagi....... insyaAllah aku bertugas di kedai buku lagi..... akan adakah suara yang sama bertanya soalan yang sama lagi..... 




Thursday, 26 September 2013

SENSE OF URGENCY LINUS 2.0 NKRA 2013

Selama dua hari berkumpul di SJKC Min Te, Ayer Tawar dengan anak didik Tahun 3.......  berhadapan dengan pelbagai karenah mereka.  Ada yang kelihatan gembira, ada juga yang agak letih.  Namun berbeza dengan anakanda seorang ini...... satu-satunya murid Tahun 3 Pemulihan Khas SKL.

Menurutnya.... seronok selama di sana.  Namun raut wajahnya yang memang bersahaja dan jarang senyum malahan angguk dan geleng sahaja peneman dirinya....... memberi jawapan positif sekali.  

Soalan yang diberi mampu dijawabnya dengan agak baik.  Cuma Numerasi perlu dibimbing dan dilatih tubi dengan lebih giat lagi.  Sikapnya seperti biasa.... tidak ada komunikasi di antaranya dengan rakan-rakan dari sekolah lain.  

Syukur alhamdulillah dia berjaya melalui dua hari itu dengan agak baik, tidak seperti satu program yang pernah dihadirinya beberapa bulan yang lalu.  Tahniah cikgu ucapkan!  Ujian saringan akan diadakan tidak lama lagi.  Mudah-mudahan kejayaan menantimu di hujung usaha kita bersama.  InsyaAllah.  

Monday, 17 June 2013

MENERIMA TETAMU BARU

Bermulanya buka semester atau penggal kedua ini, bermakna murid tahun satu yang belum menguasai konstruk 1 dan 2 dalam Literasi dan Numerasi akan menjadi ahli baru Kelas Pemulihan Khas.  Mereka perlu dibantu juga dibimbing agar dapat menguasai kedua-dua konstruk tersebut.

Guru-guru Pemulihan daerah Manjung telah diberi penerangan yang jelas oleh Encik Mohd Halit selaku fasilinus pada 10 Jun 2013 yang lalu di Dewan Samudera, SK Seri Bayu.  Guru-guru Pemulihan hanya akan mengambil murid-murid yang belum menguasai konstruk 1 dan 2 sahaja (Linus Tegar).  Manakala murid Linus akan diajar dan dibimbing oleh guru kelas (Literasi dan Numerasi) masing-masing.  

Murid-murid yang dimaksudkan akan diajar oleh guru Pemulihan Khas. Sekiranya mereka telah menguasai konstruk 1 dan 2 tersebut, PdP akan diteruskan dengan konstruk yang seterusnya sehinggalah ujian saringan diadakan.  Selepas Ujian Saringan selesai, murid Pemulihan Khas (Literasi & Numerasi- Tegar) yang menguasai konstruk 1 dan 2 dan lebih akan dipulangkan ke kelas masing-masing.  Sekiranya masih belum menguasai, guru Pemulihan Khas akan meneruskan PdP dengan pelbagai kaedah dan teknik untuk membantu mereka mengenal huruf dan nombor dengan jayanya.

Selamat berkhidmat dengan penuh ketabahan dan kesabaran.  Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar.

Monday, 29 April 2013

LAWATAN PENANDA ARAS GURU-GURU PEMULIHAN KHAS KE KEDAH DARUL AMAN

Pada 24 April lalu guru-guru Pemulihan Khas Daerah Manjung telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke negeri Kedah Darul Aman.  Pada tarikh yang sama juga beberapa orang Guru Besar yang terlibat dengan lawatan ini tidak dapat menyertai sama dan digantikan dengan Guru Kanan sekolah masing-masing.


Lawatan ini diketuai oleh Encik Musa 
bin Hamid, Penolong PPD Pendidikan Khas/ Pemulihan daerah Manjung.
Pengerusi lawatan pula ialah Puan Rosnaini, Guru Besar SK Gelong Gajah.  

Sebanyak tiga buah bas telah ditempah untuk lawatan ini.
Rombongan bertolak jam 5.00 pagi dari PPD, Sitiawan menuju ke SK Sungai Seluang dan SK Guar Lobak dalam daerah Kulim.

Mudah-mudahan ilmu yang diperoleh daripada lawatan ini dapat diaplikasi di sekolah masing-masing.  Jauh perjalanan menambah pengetahuan moga dapat dikongsi bersama rakan sekerja dalam memberi didikan terbaik buat anak-anak yang dahagakan ilmu.

  (foto ehsan En Zazalee)

Friday, 5 April 2013

ANDA SAKIT KEPALA?

Ada kalanya guru-guru mengalami masalah sakit kepala.  Kebiasaannya guru perempuan yang mengalami masalah sedemikian.  Sakit kepala tersebut mungkin datang daripada pelbagai punca.  Malah bagi yang menghidap migrain, panadol biasa mungkin tidak mendatangkan kesan sehinggakan terpaksa mengambil ubat lain yang diarahkan oleh doktor.

Kiranya anda berhadapan dengan masalah sakit kepala akibat tertekan dengan tingkah laku murid-murid,  lebih-lebih lagi bagi guru Pemulihan Khas yang pening kepala berhadapan kerenah anak-anak yang pelbagai....... disarankan amalkan membaca ayat 19 dari surah Al Waqiah.  

Bacalah ayat tersebut dan hembuskan di tapak tangan.  Seterusnya sapu perlahan-lahan di kepala.  Sambil berdoa dan berselawat mohon Allah menghilangkan kesakitan.  Mudah-mudahan berkat kesabaran dan kebergantungan anda pada Allah SWT, urusan anda dipermudahkan.  Cubalah....   semua penyakit itu ada ubatnya, kecuali mati.  


Wednesday, 27 March 2013

ADA KELAS TAK?

"Cuti ni takde kelas ke cikgu?" tanya salah seorang anak muridku.  Prihatin benar dia dengan hari-hari cuti yang bakal menjelang.

"Ada, insya-Allah nanti cikgu bagi surat.  Cikgu dah mohon kebenaran dari guru besar, beliau izinkan," jelasku kepadanya.

Dan pada hari yang dijanjikan, memang benar bahawa dia hadir bersama rakannya yang lain.  Aku dimaklumkan bahawa Shah dan Nazirah tidak dapat hadir kerana pulang ke kampung.  

"Azam tak nak datang, cikgu." beritahu Afiq kepadaku.

"Tak mengapalah......... mungkin dia banyak kerja.  Nak bantu mak atau ayahnya cuti-cuti ni," aku sentiasa memujuk mereka untuk belajar berbaik sangka.  

Syukur sangat-sangat kerana ada dalam kalangan ibu bapa anak muridku memberi komitmen terhadap pembelajaran anak-anak.  Sedia berkorban masa menghantar dan mengambil anak mereka.  Turut menyediakan wang belanja atau menyediakan bekal buat mereka.  Malahan tidak berungut kiranya anak terpaksa datang dalam cuti-cuti begini.  Tabik hormat pada mereka!

Dengan sokongan padu ini serta doa yang dipanjatkan, mudah-mudahan anak-anak didik ini dipermudahkan Allah menerima apa yang diajar.  Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubahnya.  

Cikgu doakan buat semua, semoga beroleh kejayaan.  Cuma perlu usaha, usaha dan teruskan usaha.  Jgn lupa jaga solat dan mohon doa pada Allah.  Kita bukan dilahirkan untuk gagal, kejayaan itu akan menjadi milik kita kalau kita mencarinya sungguh-sungguh.  Yakin, berdoa dan tawakkal padaNYA.  Insya-Allah, mereka yang berusaha Allah janjikan dengan kemenangan dan kejayaan.  


Sunday, 24 March 2013

MOTIVASI GURU-GURU PEMULIHAN KHAS

Program Motivasi dan P&P Guru-guru Pemulihan Khas Daerah Manjung telah diadakan pada 19 Mac 2013 yang lalu bertempat di Dewan Samudera, SK Seri Bayu, Manjung Raya.

Program ini yang bermula jam 2.00 petang adalah untuk semua guru pemulihan merangkumi SK, SJK(C) dan SJK(T).  Penceramah yang diundang ialah En. Hamidun bin Jamli, Kaunselor Organisasi PPD Daerah Manjung.

Menurut beliau, guru-guru patut bersyukur dan berterima kasih kerana terpilih menjadi guru Pemulihan Khas.  Guru Pemulihan merupakan guru yang hebat.  Sesungguhnya darjat seseorang guru adalah ditentukan oleh diri guru itu sendiri.  Tugas guru ialah menyampaikan ilmu, iaitu satu tugas yang mulia.  Bukan sahaja guru-guru memperoleh gaji, malahan ada ganjaran di akhirat pula.  Ilmu yang disampaikan itu bermanfaat kepada murid jua diri guru itu sendiri.

Namun bagaimanakah tugas itu dikira bermanfaat kepada diri dan orang lain?  Pendek kata guru yang bertugas dengan penuh ikhlas serta dengan niat yang betul, mereka itulah yang bakal memperoleh ganjaran atau pahala yang besar di akhirat nanti.  

Beliau menambah, perlu ada empat perkara pada diri seorang guru yang cemerlang.  Cemerlang dari aspek IQ, EQ, PQ dan SQ.  Guru-guru sentiasa kena 'update' keilmuan yang ada. Emosi kena kawal selalu terutama dalam menangani anak didik dan melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Di samping itu fizikal dan kesihatan perlu dijaga. Seterusnya spiritual atau kepercayaan (agama) mesti disekalikan dalam diri.  Dengan itu barulah seorang guru itu dikira cemerlang.

Cikgu yang melahirkan murid yang lebih hebat daripada dirinya adalah merupakan guru yang hebat!  Kejayaan seseorang individu itu adalah bergantung kepada 80% EQ dan 20% IQ.  Kiranya hendak menjadi orang hebat, mesti ada gandingan  sikap (attitude), kemahiran (skills), pengetahuan (knowledge) dan pengalaman (experience).  

Penceramah mengingatkan juga bahawa dalam diri seorang guru itu perlu ada kekuatan kasih sayang.  Dengan kasih sayang itulah akan melahirkan insan yang baik, merasakan diri dihargai dan dapat belajar dengan gembira dan ceria.

Ceramah yang diselang seli dengan sedikit aktiviti ringan dan respon guru-guru menjadikan program tambah ceria dan mesra.  



(Nota : Sebagai umat Islam, usaha, doa dan tawakkal itu perlu dicanai bersama bagi menjadikan diri seorang guru yang hebat).  




Friday, 1 March 2013

Program Sinar Harapan Linus Tahun 3

Program Sinar Harapan Linus Tahun 3 telah berlangsung di Dewan Bestari, PPD Manjung.  Hanya murid murid-murid Tahun 3 yang masih berada dalam kategori Tegar dan Linus sahaja terlibat dalam program ini bersama guru Pemulihan masing-masing.

Program ini berlangsung dari 26 hingga 28 Februari 2013 bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 2.00 petang.  Bagi kategori Literasi, penceramah jemputan ialah En Abdul Karim bin Monok, Guru Besar SK Kota Setia manakala bagi Numerasi pula Pn Nurwahida bt Yakub dari SK Sungai Tiram. Fasilinus turut serta membantu bagi melancarkan program tersebut.

Dalam masa yang singkat itu guru-guru didedahkan dengan beberapa teknik, kemahiran dan kaedah mengajar yang mungkin boleh dikongsi bersama dalam melaksanakan P&P di bilik darjah.  Guru-guru digalakkan menyelitkan unsur nyanyian dalam P&P selain memberi ganjaran yang sesuai.  Penggunaan bahan maujud dalam melaksanakan P&P Numerasi adalah digalakkan bagi menambah pemahaman murid-murid terhadap kemahiran yang diajar.

Foto :  Ehsan PPD Manjung

Thursday, 21 February 2013

KENANGAN BERSAMAMU...

Petik sekuntum bunga melati,
Buat hiasan di tepak sirih;
Berkenal mesra denganmu Kak Ani,
Izin kuucap terima kasih.

Anak puyuh lari-larian,
Sayang kaki tersadung akar;
Kenangan bersama jadi ingatan,
Dalam hati semarak segar.

Anyam ketupat tengah halaman,
Ibu di dapur menenggek rendang;
Bersama-sama kongsi pengalaman,
Takkan hilang budi dipandang.



Mangga muda dibelah-belah,
Hajat hati nak buat jeruk;
Tiket relief dihulur sudah,
Terima sajalah jangan merajuk.

Selasih merimbun tepi perigi,
Bersulam pandan celah mencelah;
Guru Kanan gelaran diberi,
Urusan pentadbiran bukanlah mudah.

Anak padi subur menghijau,
Di tengah bendang sepat berkejaran;
Kelas Pemulihan sering ditinjau,
Bertanya khabar tidak dilupakan.




Sayang tempua bersarang rendah,
Burung kelicap di atas dahan;
Berkhidmat dengan penuh berhemah,
Saranan teguran jadi panduan.

Daun angsana jatuh guguran,
Mari menimpa bunga di taman;
Bila SKL puan tinggalkan,
Kepada kami dilupa jangan.

Padi sawah padi huma,
Enak sekali buah berangan;
Jenguklah kami sesekali cuma,
Jika Allah memberi kelapangan.





Tepung pelita si kuih cara,
Buat hidangan putera mahkota;
Kiranya ada tersilap bicara,
Ampun dan maaf kami meminta.

Jatuh mengalir si air mata,
Duduk mengenang di pinggir kali;
Sekadar di sini pertemuan kita,
Entahkan bila bersua kembali.

Sunday, 3 February 2013

BUKAN BUATAN KILANG

Nampak sahaja tidak ramai murid-murid Pemulihan Khas ni.  Betul, memang betul.  Tapi untuk memulihkannya ada kalanya memakan masa sebulan dua.  Ada juga sampai setengah tahun.  Ada waktunya mengambil masa setahun dua.  Malah ada ketikanya terlalu atau amat sukar dipulihkan walaupun guru-gurunya telah berusaha sedaya upaya. Ada yang baru diajar sebentar tadi, bila ditanya sekarang ...... lupa.  Tidak dinafikan.  Daya ingatan begitu ketara lemah.  Ada kalanya rasa kasihan menghantui.  

Berbalik pada ketentuan Allah, sesiapa yang berusaha dia akan berjaya, insyaAllah.  Tapi andaikata Allah tak izinkan, apalah yang mampu kita buat.  Cuma di samping berusaha membantu dan membimbing, setiap Guru Pemulihan diharapkan mendoakan mereka.  Sesungguhnya doa itu senjata orang mukmin!  Itu kena faham betul-betul.  Kalau setakat berdoa sahaja tanpa berusaha, takkan ke mana sampainya kita.  Tugas kita berusaha, berusaha dan terus berusaha.  Untuk memudahkan laluan, untuk mengekalkan daya ingatan, semua itu kerja Allah.  

Persoalannya kita bukannya melahirkan barangan buatan kilang, boleh ditambah perisa yang dibenarkan, ubat tahan, atau bungkusan yang menawan dan memikat pengguna.  Boleh bertukang sana sini agar ia kelihatan kemas, cantik dan bermutu tinggi.  Ianya berkaitan dengan minda atau otak ataupun akal fikiran.  Anugerah Allah yg dapat membezakan antara kita dengan haiwan atau binatang.

Tidak semua dalam kalangan kita otaknya sama, kepandaiannya sama.  Setiap insan itu berbeza, itulah ciptaan Allah yang menunjukkan kehebatannya.  Kalau tidak bijak dalam mengira, mungkin kita bagus menulis, atau hebat berpidato, ataupun punya bakat menyanyi, bertukang dan sebagainya.  Yang hanya menjual burger mungkin pendapatannya lebih lumayan daripada pendapatan seorang guru!  Itu semua kita lebih maklum.

Anak istimewa yang ditempatkan di kelas Pemulihan Khas ini mungkin ada bakat istimewa yang lain.  Semua itu anugerah Allah.  Mungkin ada yang boleh menyanyi, bersukan, melukis dan mewarna, ada yang juga hebat bercerita.  Subhanallah.......  Cuma cikgu yang perlu teliti dalam memerhati dan menyokong bakat mereka.  


Betapa dunia hari ini diwarnai dengan pelbagai jenis manusia dan bermacam kebolehan, kemahiran dan bakat.  Namun mereka perlu boleh membaca, menulis dan mengira.  Dan di sinilah Guru Pmulihan memainkan peranan penting dalam membantu mereka tanpa mengira agama dan bangsa.  Sesungguhnya Allah menilai walau sebesar zarah pun usaha murni kita. Dan selepas itu terserahlah pada ketentuan Allah.  Dia amat luas pengetahuanNYA.